HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Semua Enam Tahanan EO Dibebaskan

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Semua enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan sejak 28 hari lalu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat dibebaskan sebentar tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media berkata berikutan pembebasan mereka ini, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Polis Diraja Malaysia mengumumkan bahawa keputusan telah dibuat untuk membebaskan semua enam orang yang telah ditangkap pada 2 Julai lalu, di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, di bawah Ordinan Darurat," katanya.

Semua mereka dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang dan menurut setiausaha agung PSM S Arulchelvam dalam tweeternya, pembebasan mereka adalah tanpa syarat.

Mereka termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama Bersih 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana meneruskan tahanan berkenaan.

Selain pemimpin Pakatan Rakyat, Presiden MIC Datuk G Palanivel juga menuntut pembebasan mereka kerana mendakwa tindakan itu menarik “perhatian dunia” dan mungkin memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Turut menuntut perdana menteri dan menteri dalam negeri supaya membebaskan Jeyakumar adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang dianggotai 13,000 pengamal profesyen perubatan.

Tiada ulasan: