Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Video Bersih 2.0 yang dirakam dan ditayangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya atau 'tidak laku', sehingga Menteri Penerangan terpaksa digunakan untuk memberikan publisiti mengenainya. Sekiranya video itu menarik dan benar-benar menceritakan kejadian sebenar, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai menontonnya tanpa dipaksa. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, dengan itu, pihak PDRM hanyalah melakukan kerja yang sia-sia dan membazirkan wang rakyat untuk menghasilkan video itu kerana ia tetap tidak diminati oleh orang ramai. Menurut beliau, nasib video polis itu samalah seperti nasib filem-filem negara yang sememangnya tidak menarik minat orang ramai untuk menontonnya walaupun pembikinannya mengambil masa agak lama dan memakan belanja yang besar. Katanya, untuk tidak mensia-siakan pembikinan video itu, pihak kerajaan kini terpaksa memaksa stesyen-stesyen TV di tanah air menyiarkannya tetapi usaha tersebut tetap gagal, apabila hanya pihak RTM sahaja yang sudi menayangkannya. "Keengganan stesen-stesen TV lain khususnya TV swasta untuk menayangkan video polis itu kerana diyakini video itu tidak akan menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya, malah kalau disiarkan pasti akan memberikan kesan buruk kepada stesen-stesen TV itu sendiri. "Kini media-media utama tanah air yang dikuasai kerajaan sudah tidak lagi dipercayai oleh orang ramai. Sekiranya video polis itu juga turut disiarkan, orang ramai pasti akan menjadi lebih tidak mempercayai stesyen-stesyen TV berkenaan. Menyedari hakikat itulah stesen-stesen TV swasta enggan menyiarkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat negara ini hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayangkan oleh PDRM berhubung himpunan Bersih 2.0. Menurut Mahfuz, saranan Rais itu sememangnya menggelikan hati kerana ia jelas membuktikan video tersebut tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya, sehingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan Menteri Penerangan untuk membuat publisiti mengenainya dan membuat seruan seperti itu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga yakin pihak RTM sendiri sebenarnya turut tidak berminat untuk menyiarkan video itu, tetapi ia terpaksa disiarkan juga kerana terpaksa setelah dipaksa oleh kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang. "Rakyat negara kita sekarang sudah semakin cerdik. Rakyat sendiri tahu yang mana video yang bermutu dan yang mana video yang tidak bermutu. "Rakyat sendiri tahu yang mana video yang benar dan yang patut ditonton dan yang mana video yang tidak benar yang tidak patut ditonton malah kalau ditonton pasti hanya menggelikan hati. "Oleh itu, pihak kerajaan sendiri dapat mengambil pengajaran dari nasib malang yang dialami oleh video polis itu untuk mengetahui realiti sebenar tentang rakyat di negara kita sekarang yang sudah tidak boleh diputarbelitkan lagi," tegas beliau. Malah semakin diputarbelit, tegas beliau, rakyat akan menjadi semakin marah dan meluat dengan kerajaan sehingga menyebabkan segala tindakan kerajaan sekarang akan menjadi pertikaian di kalangan rakyat. "Begitulah nasib kerajaan BN kini setelah sekian lama memerintah dan setelah sekian lama memutarbelit dan menzalimi rakyat dalam pelbagai aspek," ujar beliau. |
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 29 Julai 2011
Video polis Bersih 2.0 tak laku
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan