HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Enam pemimpin PSM masih disiasat, kata IGP

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH — Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj masih disiasat di bawah Ordinan Darurat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini.

“Kita akan membuat keputusan sewajarnya. Apa yang kita buat adalah sebahagian daripada prosedur dan proses mengikut undang-undang kita,” katanya.

Selain Dr Jeyakumar, lima lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A P Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Keenam-enam aktivis PSM itu ditahan dua minggu sebelum perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Ketika dipetik Bernama Online, Ismail memberi jaminan kesemua mereka dijaga dengan baik mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada.

Katanya sebarang tindakan yang diambil oleh pihaknya adalah berdasarkan undang-undang yang ada demi kepentingan dan keselamatan negara.

“Kita memberi jaminan semua tahanan adalah berdasarkan langkah prosedur yang ada dalam undang-undang, peguam mereka tahu, pihak-pihak tertentu telah dibenarkan berjumpa dengan (Dr Michael) Jeyakumar,” kata Ismail (gambar) ketika diminta mengulas tindakan mogok lapar sejak pagi tadi oleh Dr Jeyakumar.

Katanya apa-apa hak yang patut diterima oleh tahanan terbabit telah diberikan oleh polis termasuk layanan yang baik mengikut prosedur tahanan.

Tiada ulasan: