HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

Kecewa Layanan Polis Terhadap Tahanan EO, PSM Mahu Jumpa Menteri

Ditulis oleh Naeem Raffie


KUALA LUMPUR : Sebagai usaha membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), PSM telah menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai menzahirkan rasa tidak puas hati selain mengutuk layanan terhadap tahanan.

Surat tersebut mengutarakan beberapa perkara kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengenai layanan yang diberikan kepada enam tahanan EO.

Selain itu, PSM juga menyifatkan penahanan aktivis PSM kononnya sebagai penggerak himpunan Bersih sebagai tidak masuk akal, satu bentuk salahguna kuasa dan zalim.

Antara perkara yang diusulkan adalah seperti berikut:

1. Ibu M.Sugumaran dalam keadaan tenat dan meminta jasa baik menteri membenarkan tahanan menziarahi ibunya.
2. Lawatan keluarga dan peguam dikendalikan secara tidak profesional.
3. Keluarga tahanan tidak dimaklumkan apabila tahanan dimasukkan ke hospital.
4. Penggunaan mesin polygraph untuk 'interrogation' adalah salah dan tidak ikut prosedur perundangan.
5. Tahanan tidak dibenarkan mengadakan perbualan perseorangan dengan peguam.

PSM antara lain turut berharap perkara tersebut diberikan perhatian segera selain mahu Hishamuddin memanggil satu mesyuarat bersama PSM bagi membincangkan pembebasan keenam-enam tahanan.

18 Julai lalu, pemimpin kanan PSM menuntut pihak KDN berunding dengan mereka bagi membebaskan enam rakan mereka yang masih ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Perwakilan parti itu yang terdiri daripada 12 anggota diketuai pengerusinya Dr Nasir Hashim yang hadir ke kementerian itu bagaimanapun gagal menemui menteri.

Sebaliknya hasrat perwakilan itu dibataskan dengan alasan menteri berada di luar negara manakala pegawai khasnya pula sedang bermesyuarat.

Sementara itu hari ini, 11 orang ditahan oleh polis ketika mereka cuba untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar diadakan pembaharuan secara total dan membebaskan kesemua enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah EO.

Zaki Yamani, salah seorang daripada tujuh ahli Angkatan Muda PKR, telah cuba untuk mengemukakan memorandum kepada Najib ketika beliau tiba di KL Sentral dari Putrajaya dengan menaiki Express Rail Link bersama beberapa anggota Kabinet bagi melancarkan program Kibar Jalur Gemilang.

Kira-kira 30 orang cuba memasuki kawasan pelancaran, dan polis menahan 11 orang yang mengenakan kemeja-T menyokong pertubuhan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Mereka yang ditahan termasuklah pembantu kepada ahli-ahli Parlimen Chua Tian Chang dan Zuraida Kamaruddin.

Pembantu Chua, Rozan Mat Azen Mat Rasip berkata pihak polis membawa mereka ke balai polis Jalan Travers untuk direkodkan kenyataan mereka.

Tiada ulasan: