KUALA LUMPUR— Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan tindakan menyamakan fahaman Wahabi dengan aktiviti pengganas adalah tidak berasas sama sekali sambil menjelaskan, kedua-duanya umpama langit dan bumi.
Ini kerana, menurut Yang Dipertua PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, fahaman Wahabi tiada kaitan dengan aktiviti pengganas walaupun sentiasa berbeza pendapat dan pandangan dengan pengikut Ahli Sunah Waljamaah.
“Wahabi dengan pengganas macam langit dengan bumi, fahaman Wahabi tiada kaitan dengan aktiviti pengganas... memang ada berbeza dengan kita tapi janganlah kaitkan dengan pengganas.
“Tuduhan ini tidak betul pun, kenapa mahu kaitkan dengan pengganas? Wahabi itu apa? Tiada pun mazhab Wahabi... pengikut fahaman ini ada yang berbeza cara dengan kita, jadi janganlah nak timbulkan masalah-masalah yang kecil seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Beliau yang ternyata terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap fahaman Wahabi menegaskan, perkara sebegitu sepatutnya perlu dibincangkan oleh tokoh-tokoh agama dan bukan secara umum kerana ia boleh menimbulkan keraguan tentang agama Islam sendiri.
Sheikh Abdul Halim juga menambah, fahaman Wahabi tidak sesat kerana ia menjadi amalan di Arab Saudi.
“Perkara ini perlu dibincangkan oleh orang-orang yang khusus, yang tahu pasal agama... jangan timbulkan keraguan macam ini. Fahaman Wahabi diamalkan di Arab Saudi, jadi macam mana kita boleh nak kata mereka sesat dan ada kaitan dengan aktiviti pengganas.
“Wahabi tidak sesat, kalau kita kata Wahabi sesat itu tidak betul... mereka cuma berselisih pendapat sahaja, kalau nak kata Wahabi sesat, celah mana mereka sesat? Beritahu pada saya mengapa mereka sesat, saya harap perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan tidak perlu nak diperbesarkan sangat kerana ramai yang tidak faham nanti,” katanya.
Polemik isu Wahabi muncul semula Isnin lalu dengan laporan media menyebut satu pertemuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengaitkan beberapa tokoh agama termasuk bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan 40 ulama muda Umno dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.
Pertemuaan itu juga dilaporkan telah meminta para mufti dan agensi agama memantau pergerakan mereka, namun pengesahan rasmi daripada MKN belum ada.
Ekoran pendedahan itu, Juanda dan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa agar dialog terbuka diadakan bagi menyelesaikan isu Wahabi.
Selain itu Juanda juga mempelawa pendakwah bebas Dr Muhammad Uthman El Muhammady agar bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”
Uthman yang kini Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi di Putrajaya, Isnin lalu.
Isu ini juga muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”
Tambah Sheikh Abdul Halim, beliau berharap polemik itu boleh diselesaikan dengan segera.
“Jangan timbulkan keraguan di kalangan umat Islam, perkara ini perkara kecil... elok diselesaikan dengan segera.
“Nanti kalau berlarutan lagi ramai yang tidak faham, siapa yang tidak faham baik mendiamkan diri... biar selesaikan secara ilmiah,” katanya dengan nada kecewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan