HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

IGP: Polis tak akan terburu-buru...

BERNAMA


Polis tidak akan terburu-buru terhadap desakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu supaya pasukan keselamatan itu memohon maaf berhubung insiden yang berlaku terhadapnya ketika menyertai perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan berhubung insiden itu, yang didakwa Mohamad Sabu bahawa beliau dilanggar sebuah kereta Waja milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya tidak mahu dikatakan bercakap bohong. Kita kena ikut peraturan dan undang-undang kerana kita ada sistem keadilan kita dan bukan hanya tahu bercakap. Saya sebagai seorang polis yang ditugaskan untuk menguatkuasakan peraturan.

"Pada saya, kalau orang nak cakap, biasalah dan itu hak dia. Dia nak saman, itu hak dia. Pihak kita akan terus tunjukkan tahap profesionalisme kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani nota persefahaman kerjasama strategik antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan PDRM di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata demikian semasa mengulas dakwaan Mohamad Sabu, yang kekal dengan pendirian bahawa beliau dilanggar sebuah kereta Waja PDRM ketika menyertai perhimpunan haram Bersih, 9 Julai lepas dan mendesak pasukan keselamatan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan Mohamad Sabu itu berdasarkan kepada fakta yang benar serta keterangan yang ada dan bukannya mereka-reka cerita.

"Insyallah, bila siap siasatannya, cukup dengan fakta dan keterangan, kita akan kemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Orang ramai boleh menilai sendiri. Orang ramai dah dengar cerita dia (Mohamad Sabu) dan dengar cerita polis.

"Fakta yang polis kemukakan ialah (tayangan) video yang terdapat di tempat kejadian. Pada saya, itulah satu perkara yang boleh menunjukkan kebenaran siapa yang cakap betul dan siapa yang cakap tidak betul," katanya.

Sehubungan itu, Ismail menasihatkan orang ramai supaya menunggu hasil siasatan berhubung insiden tersebut.


Tiada ulasan: