HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Usaha tiga tahun gagal, Umno masih harapkan kerjasama PAS

THE MALAYSIAN INSIDDER



SHAH ALAM — Meskipun usaha tiga tahun masih belum berjaya, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, parti itu masih berharap PAS dapat bekerjasama dengan Umno bagi menyatu padukan umat Islam dan Melayu di negara ini terutamanya dengan ketibaan bulan Ramadan kali ini.

“Walaupun tangan yang dihulurkan oleh Umno tidak disambut sebelum ini tetapi Umno tidak pernah menutup pintu rundingan kepada PAS apatah lagi sempena bulan Ramadan,” katanya dipetik Bernama Online.

Umno mengusahakan perbincangan dengan PAS sejak selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Terdahulu Ahmad menutup Forum Perdana Menjana Umatan Wahidah anjuran Umno Bahagian Kota Raja di sini malam tadi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kesanggupan Umno untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah kerana Umno berada dalam keadaan terdesak tetapi untuk masa hadapan umat Islam terutamanya dalam soal sosio-ekonomi.

“Lagipun, sejak PAS menukar haluan perjuangannya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan, akan memudahkan lagi kerjasama kedua-dua parti memandangkan Umno telah lama mengamalkan konsep negara berkebajikan ini,” katanya.

Ahmad berkata penduduk bukan Melayu tidak perlu bimbang jika orang Melayu dalam Umno dan PAS bersatu kerana orang Melayu akan kurang berpolitik dan lebih menumpukan perhatian untuk membangunkan tahap sosioekonomi mereka.

Laporan media menyebut kepimpinan Umno dan PAS telah mengadakan pertemuan ke arah kerjasama mereka pada 24 Disember lalu.

PAS sudah banyak mengesahkan ia akan meneruskan kerjasama dengan PKR dan DAP menerusi perikatan Pakatan Rakyat.

Pendirian itu turut ditekankan ketika Muktamar PAS awal bulan lalu.

Tiada ulasan: