Penglibatan parti politik dalam BERSIH 2.0, satu gerakan yang seharusnya dipimpin masyarakat sivil mencungkil pertikaian. Seorang hadirin menegur ketidakselarian hujah seperti "gulingkan kerajaan", dengan gerakan BERSIH 2.0; malah meluahkan "ketidakselesaan" adiknya yang menyertai perhimpunan 709 dengan laungan "takbir" ketika perarakan berlangsung.
Hadirin ini berpendapat bahawa imej BERSIH 2.0 sebagai entiti non-political harus dijaga, dan pemimpin mahupun penyokongnya perlu berpegang kepada pendirian itu. Laungan "Takbir" mungkin memberi persepsi yang mengaitkan gerakan ini dengan PAS, padahal ia seharusnya satu gerakan yang didominasi masyarakat sivil dari latar belakang yang berbeza.
Perkongsian pandangan ini mencetus perbincangan seterusnya, dalam forum "Sebelum & Selepas 709: Apa Kata Anak Muda?", anjuran bersama Free Public Forum Malaysia (FPF), Amnesty International Malaysia, dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.
Forum ini membariskan Fahmi Reza, pengarah filem "10 tahun Sebelum Merdeka", bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysiam Shazni Munir; Faisal Aziz dari Amnesty International, Setiausaha Pentadbiran DEMA, Wong Swee Nee, aktivis JERIT dan PSM Bawani, dan Afif dari IDEAS sebagai ahli panel. Diskusi yang bertindih dengan forum isu Teoh Beng Hock (di bangunan yang sama diskusi diadakan), candle light vigil untuk EO6 (di Dataran Merdeka) semalam, menarik kira-kira 80 orang.
Beberapa orang mentafsir "non-political" yang dimaksudkan itu sebagai mengasingkan gerakan itu dari politik, lantas membalas komen ini dengan dakwaan bahawa segala-galanya dalam kehidupan kita ada kaitan dengan politik. Bawani (gambar kanan) misalnya, berkata dari nasi yang kita makan sehinggalah baju yang kita pakai - semuanya berkaitan dengan politik - kerana harga nasi ditentukan oleh parlimen - yang dipilih melalui pilihan raya - satu proses politik.
Ketidakpuasan rakyat diterjemah kepada sokongan pembangkang
Bagaimanapun, Fahmi Reza mentafsir "non-political" yang dimaksudkan hadirin tersebut sebagai politik "non-partisan". Beliau berkata, "Saya rasa masalah dengan politik Malaysia ini ialah, dia sudah jadi terlalu partisan. Itu yang menjadikan kebanyakan orang muda bosan dan jelek dengan politik. Sebab politik, antara kerajaan dengan pembangkang... pasal Anwar, isu-isu partisan-lah. Sebab itu, apabila politik disempitkan menjadi partisan politik, di situ orang biasa seperti kita macam... Tak payah mainlah, tak payah join-lah. Macam boring-lah, sebab... antara dua pihak sahaja."
Beliau yang bersikap sinikal terhadap demokrasi pilihan raya, menjelaskan bahawa rakyat hanya terlibat dalam politik ketika pilihan raya. Wakil rakyat yang dipilih tidak membawa suara rakyat ke parlimen, sebaliknya terpaksa akur kepada Ketua Whip masing-masing, sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang. Malah, Fahmi menambah bahawa parlimen gagal berfungsi, menyifatkan apa yang berlaku dalam parlimen sebagai "macam budak sekolah menjerit sahaja" - bukan perdebatan, mahupun perbincangan.
Beliau seterusnya mengecam parti politik, di mana pemerintah sering kali melihat segala kritikan terhadap dirinya atau dasarnya sebagai "agenda pembangkang"; sementara pembangkang pula mencari kesempatan untuk menterjemahkan ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan sebagai undi kepada pembangkang.
Fahmi Reza (gambar kiri) menggunakan kata-kata keras, misalnya oportunis, parasit untuk menyifatkan parti politik, termasuk pembangkang. "Dengar kenyataan Anwar, kalau buat election (pilihan raya), kita yakin rakyat akan sokong kita..."
"Belah-lah!" Reaksi Fahmi Reza mengundang ketawa di bawah pentas.
Bahayanya untuk buruk-burukkan institusi penting
Cadangan strategi Fahmi Reza untuk mengasingkan parti politik dari gerakan masyarakat sivil mengundang respon Wan Saiful, yang menarik diri dari barisan panelis kerana kepenatan selepas mempengerusikan perdebatan antara Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad dengan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, pada petang semalam.
"Ia tidak seharusnya non-partisan, ia seharusnya cross partisan (melangkaui partisan)," cadang Wan Saiful untuk membuka pintu kepada semua parti politik, termasuk pemerintah dan pembangkang.
Bagaimanapun, Wan Saiful yang sempat mengikuti sebahagian forum "Di manakah kebenaran?" anjuran DAP di tingkat bawah Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, meluahkan kebimbangan beliau terhadap trend politik pembangkang. Mengambil contoh Naib Presiden PAS Husam Musa (salah seorang penceramah dalam forum DAP, gambar kanan) yang memulakan ucapan dengan kenyataan "menolak laporan RCI (Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock)", Wan Saiful menyatakan kebimbangannya apabila institusi penting dalam negara diburuk-burukkan (demonised).
Wan Saiful mempertikaikan bahawa pembangkang yang pada mulanya menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja, dan kini masih mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Ahmad Sarbani, bekas Penolong Pengarah Pejabat Kastam Pelabuhan Klang yang ditemui mati di bangunan SPRM.
Oleh itu, Wan Saiful menganggap bahawa situasi sedemikian adalah bahaya, di mana kita mempersoalkan semua keputusan yang tidak selari atau tidak memihak kepada kita, lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat juga perlu bekerjasama dengan institusi ini, misalnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mereka berkuasa nanti.
"Kamu tak boleh mengandaikan bahawa semua dalam BN atau UMNO iblis belaka, walaupun secara jelas malaikat tu tak banyak-lah!" kata Wan Saiful sambil berjenaka.
Struktur demokrasi belum terbentuk
Meskipun bersetuju dengan kenyataan bahawa matlamat parti politik adalah untuk mendapat kuasa, namun seorang hadirin kurang bersetuju apabila Fahmi Reza mendakwa "kesemua ahli politik hanya mahukan kuasa", seandainya Fahmi bermaksud demikian. Hadirin tersebut mengambil contoh Micheal Jeyakumar (ahli parlimen Sungai Siput - PSM, kini ditahan di bawah Ordinan Darurat), Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan), yang pada tanggapannya kurang tepat jika kenyataan tadi digunakan ke atas mereka.
Beliau bersifat terbuka dengan penyertaan parti politik dalam gerakan sosial, selagi ahli politik tersebut mendedahkan siapa dirinya, dan apa yang ingin dilakukan beliau. Pendek kata, jujur dan ikhlas dalam perjuangan.
Hadirin tersebut berkata pergerakan masyarakat sivil adalah sesuatu yang ideal, dan beliau tidak menentangnya, pada masa yang sama mengingatkan bahawa "dalam sesebuah negara yang opresif, di mana struktur-struktur demokrasinya tidak terbentuk dahulu, kebolehan atau peluang untuk masyarakat sivil untuk mara ke depan adalah terbatas."
Beliau yang juga turun ke jalan raya pada 709, berpendapat bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 mungkin "tidak jadi", "kalau PAS tak turun". Suka atau tidak, dalam konteks negara kita, parti politik masih diperlukan untuk mengerah atau memobilisasi penyertaan rakyat, katanya.
Baca: Fahmi Reza: 709 adalah jari tengah kepada elit pemerintah
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan