HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

Tuduhan Wahabi boleh jejaskan hubungan Malaysia-Arab

"Sudahlah sekarang ini hubungan kita dengan Perancis (berhubing isu kapal selam Scorpene) terjejas, sekarang pula mahu rosakkan hubungan dengan negara Arab," kata Mohammad berseloroh.



KUALA LUMPUR: PAS bimbang dakwaan yang mengaitkan pengikut fahaman Wahabi dengan pengganas akan menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara luar, terutamanya Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang lain.

Sambil menyifatkannya sebagai keterlaluan, Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu berkata dakwaan yang dilemparkan itu tidak ubah seperti tuduhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (EO) atas alasan cuba menghidupkan semula fahaman komunis dan memerangi Yang Di-Pertuan Agong.

“Ini propaganda sempit yang cuba dibuktikan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihanraya,” katanya dalam sidang media di pejabat agung PAS di sini hari ini.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuaratnya seperti dilaporkan media melabelkan beberapa tokoh ulama serta pemimpin Islam, termasuk ulama muda Umno sebagai pendokong gerakan Wahabi dan dikaitkan dengan aktiviti pengganas.

Mereka itu termasuklah bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.

Isu Scorpene

“Sudahlah sekarang ini hubungan kita dengan Perancis (berhubing isu kapal selam Scorpene) terjejas, sekarang pula mahu rosakkan hubungan dengan negara Arab,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Pemuda Umno Khairy Jamaluddin semalam dalam kenyataannya berpendapat agar Asri dan mana-mana pihak yang dikaitkan
dengan fahaman Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Khairy dalam blognya menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat MKN hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil.

“Amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri,” katanya.

Tiada ulasan: