HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Najib mahu bela rakyat bila dekat pilihan raya

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Di antara tanda pilihan raya dekat apabila pemimpin BN bercakap untuk membela rakyat kerana kenaikan harga barangan, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Selain itu, katanya setiap hari ada ahli PAS menyertai Umno.

Hari ini pula, ujarnya media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan memerangi kos kehidupan rakyat.

“Beliau dengan penuh bangga menyatakan bahawa kerajaan akan menambahkan lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos harga barang makanan.

“Ini adalah petanda pilihan raya sudah hampir. Dekat pilihan raya baru Datuk Seri Najib sedar barang keperluan rakyat melonjak tinggi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Datin Rosmah pula, ujarnya tidak tahu berapa harga gula sekilo.

“Beliau hanya tahu membeli belah dan boros berbelanja tanpa memikirkan majoriti rakyat terpaksa mengikat perut kerana kenaikan harga barang,” katanya.

Baginya, malang rakyat Malaysia mendapat pemimpin yang reaktif, bukan proaktif ketika merangka dasar pembangunan ekonomi rakyat.

Soalnya, kenapa sekarang baru hendak memikirkan untuk menjana tanah di negara ini supaya harga makanan tidak naik.

Katanya, sudah berapa lama pemimpin pembangkang menasihatkan kerajaan supaya jangan meninggalkan industri pertanian, kerana ia melibatkan keselamatan makanan.

Malaysia, ujar beliau sepatutnya tidak terkesan dengan iklim ekonomi dunia jika negara mempunyai asas kuat dalam sektor pengeluaran makanan.

Sebaliknya, tambah beliau Malaysia suka mengimport makanan supaya memberi peluang kepada suku sakat Umno BN, biar pun rakyat yang terbeban.

Contohnya, kata beliau pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan import pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada tahun 1990.

Beliau menambah, pada tahun 2010 jumlah import makanan telah mencecah RM26.7 bilion.

“Apabila dekat pilihan raya baru hendak berlakon kononnya pemimpin negara ini menyelami penderitaan rakyat.

“Kita menyeru rakyat Malaysia supaya menukar kerajaan yang lebih adil dan bijak mengurus,” ujarnya.

Ini, ujarnya telah dibuktikan di Kelantan walaupun dengan kekangan kewangan namun pemimpin yang diberi taufik oleh Allah memfokuskan kepada usaha untuk menyenangkan rakyat.

Beliau berkata, sepatutnya pemimpin BN kena malu kepada Singapura, walaupun negeri mereka hanya ada udara dan matahari sahaja, namun mereka berjaya membangunkan ekonomi dengan berjaya untuk kesenangan rakyat mereka.

Tiada ulasan: