Oleh Raudhatul Jannah Jalidar
SHAH ALAM: Sokongan dalam bentuk kewangan daripada badan antarabangsa atau negara asing tidak semestinya dilihat sebagai satu usaha negara terbabit
cuba untuk menggulingkan kerajaan.
Aktivis dan jurucakap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH),Wong Chin Huat berkata banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik termasuk yang pro-kerajaan mendapat sokongan kewangan daripada negara luar.
"Bukan sahaja NGO tetapi termasuk parti politik dan badan kerajaan, menerima sokongan kewangan daripada badan-badan antarabangsa," katanya lagi kepada Antarapos.com, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak tepat bagi mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk mendakwa NGO dan parti politik di negara ini yang menerima sokongan kewangan dari Amerika Syarikat (AS) itu membawa risiko dipergunakan untuk menggulingkan pemerintah.
"Hakikatnya ialah, penerima tajaan itu berlaku kepada semua pihak, badan kerajaan, badan berkanun, badan bukan kerajaan, pro dan anti kerajaan
dan parti politik. Itu sesuatu yang biasa. Negara kita memang membangun dan dana itu datang dari pelbagai tempat," ujarnya lagi.
Tun Dr. Mahathir mendakwa ada NGO dan parti politik di negara ini yang menerima sokongan kewangan daripada AS dan memberi amaran sumbangan itu adalah satu bentuk ancaman kepada kestabilan politik negara.
Mahathir, mendakwa, sejak dahulu lagi AS memberi sokongan kewangan kepada NGO dan parti politik bagi menggerakkan usaha menggulingkan kerajaan yang tidak disukai oleh rejim tersebut.
Wong, turut mencabar Tun Dr.Mahathir untuk menafikan bahawa Umno dan beliau sendiri langsung tidak pernah menerima sokongan dan bantuan kewangan daripada AS atau badan antarabangsa yang lain.
"Kalau Mahathir rasa ini satu kesalahan, saya cabar dia atau BN keluarkan kenyataan mereka tak pernah terima satu sen daripada negara asing...Saya rasa Mahathir rasa semua orang fikir seperti dia. Kalau berikan tajaan maka dia(penaja) ingin campur tangan. Ini tak benar bagi penaja antarabangsa," ujarnya lagi.
Wong menjelaskan bahawa tindakan menerima sokongan kewangan dari Amerika Syarikat misalnya bukanlah bertujuan untuk menggadai kepentingan negara, namun cara tersebut menunjukkan keperihatinan badan penaja itu terhadap negara-negara lain seperti Malaysia.
"Menerima dana itu tak bermaksud menggadaikan kepentingan negara. Kerana kebanyakkan sokongan dana ini cuma ingin menyokong dan badan penaja barat itu sebenarnya menerima hakikat dan menghormati kebebasan badan-badan yang menerima tajaan," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan