HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Februari 2012

Umno dalang tuduhan khalwat

"Laporan akhbar turut berniat jahat dan wujud unsur penganiayaan ke atas saya oleh suami wanita berkenaan," dakwa Dr Badrulamin.



PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron mendakwa Umno merupakan dalang yang merancang insiden kes tangkap khalwat yang mengaitkan dirinya bersama isteri orang di Hotel Swiss Garden, Kuantan awal pagi semalam.

Selain Umno, bekas pensyarah kuliyyah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu mendakwa suami wanita berkenaan turut terlibat dalam perancangan untuk menganiaya diri dan karier politik beliau.

“Peristiwa yang berlaku mungkin dirancang oleh suami wanita tersebut dan Umno membuat persiapan yang cukup lengkap membabitkan (samseng, polis dan pejabat agama). Perkara ini kemudiannya dimainkan secara sensasi oleh blogger-blogger Umno.

“Laporan akhbar turut berniat jahat dan wujud unsur penganiayaan ke atas saya oleh suami wanita berkenaan.

“Saya tidak fikir kawan-kawan di dalam PKR terlibat. Mereka adalah sahabat seperjuangan saya. Saya akan jawab selanjutnya berhubung hal ini selepas bertemu dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada petang ini,” katanya kepada FMT.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri Selangor melalui satu kenyataan semalam mengarahkan Badrulamin untuk mengambil cuti selama sebulan sehingga nama beliau dibersihkan daripada tuduhan itu.

Ingin bercuti, sebelum arahan dikeluarkan

Menjawab mengenai arahan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor menjelaskan perkara itu sudah terlintas dalam fikirannya sebelum arahan dikeluarkan.

Malah beliau turut mempertimbangkan untuk bercuti dari Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sehingga kes membabitkannya selesai.

“Saya juga mempertimbangkan bercuti dari MPP PKR sehingga selesai kes.

Setakat ini saya belum ada keputusan. Dan jika saya bercuti ia adalah atas pilihan saya sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,” jelasnya.

Badrulamin ditangkap atas tuduhan berkhalwat dengan isteri orang pagi Ahad lalu dan mendakwa tindakan itu sebagai satu perangkap untuk mengaibkan dirinya.

Beliau turut menafikan tuduhan khalwat itu seperti dilaporkan media dan menyifatkan kenyataan Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai tidak benar.

Pada jam 4 petang ini beliau yang diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid akan pergi ke pejabat JAIP untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Tiada ulasan: