Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memandang serius akan kenyataan terbaru Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menggambarkan bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) akan tetap diteruskan meskipun selepas kegagalan mereka mendapatkan konsensus daripada warga Peneroka berikutan Perintah Mahkamah Tinggi Kuantan sehingga membawa kepada pembatalan EGM pada 22 Februari lalu.
DMPP menyifatkan kenyataan, hasrat dan tindakan Isa Samad ini sebagai angkuh, gelojoh dan tidak menghormati warga peneroka. Sewajarnya Isa Samad mengambil pendekatan serius untuk menyantuni kebimbangan serta ketidakjelasan para peneroka sebaik mungkin bukannya merangka pelan baru dengan menubuhkan Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang kononnya 112,635 orang peneroka akan mendapat faedah langsung daripada penyenaraian FGVH.
DMPP percaya bahawa isu berkaitan penyenaraian FGVH ini akan terus membingit dan mengancam masa depan warga peneroka akibat kegagalan pentadbiran Umno BN dalam melakukan suatu tindakan yang benar-benar meletakkan kepentingan rakyat itu didahulukan melebihi daripada cita-cita besar Umno BN untuk memperolehi wang segera bagi tujuan Dana PRU13 Umno Barisan Nasional. Seterusnya menjadikan warga peneroka sebagai korban kepada nafsu besar dan ketidakupayaan Umno BN untuk mengurus tadbir negara ini dengan baik amnya dan Felda itu sendiri khususnya.
Janji transformasi dan penambahbaikan Felda seperti yang dilaungkan oleh PM dan Isa Samad sebenarnya hanya boleh kita sifatkan sebagai slogan kosong! Tanpa isi, tanpa makna dan tanpa keinginan serta kesungguhan politik yang jelas melainkan “impian kesenangan-kemewahan kepada golongan yang selama ini hidup susah” melalui apa yang Umno BN sebut sebagai “durian runtuh”.
Hakikatnya “durian runtuh” ini adalah bayaran “one Off” selepas para Peneroka seolah menggadaikan masa depan mereka kepada Umno BN bilamana menyetujui penyenaraian FGVH kelak. Kadar dividen KPF (antara yang tertinggi dalam Koperasi di Malaysia) yang para Peneroka perolehi selama ini akan hanya tinggal menjadi kenangan manis yang mungkin sukar untuk diulang semula, impak selepas penyenaraian. Apatah lagi kredibiliti FGVH itu sendiri sangat boleh dipersoalkan selepas kita difahamkan FGVH pernah kerugian lebih RM500 juta, 2007-2010 dalam pelaburannya di luar negara.
DMPP menyifatkan janji “durian runtuh” ini sebagai satu lagi projek BN dalam meneruskan kelangsungan memperbodoh-bodohkan rakyat khususnya kelompok marhaen. Walau bagaimanapun, DMPP percaya warga peneroka kini merupakan generasi yang lebih bermaklumat dan tidak mudah untuk tewas dengan janji manis pihak Umno.
Sehubungan dengan itu, DMPP menyambut baik usaha dan hasrat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dalam memobilisasi Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang akan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Negeri-Negeri bagi memohon perkenan Tuanku Sultan untuk campurtangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak dipajak kepada FGVH.
DMPP juga menyokong penuh hasrat Anak untuk menyerahkan memorandum cadangan bagaimana tanah seluas lebih kurang 360,000 hektar di bawah Felda Plantation (yang kini kosong tanpa peneroka) boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri. Hasrat ini sesungguhnya selari dengan matlamat asal lebih kurang 55 tahun yang lepas ketika rancangan tanah Felda itu dibuka dan dibangunkan.
DMPP meletakkan harapan yang tinggi terhadap Pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri di bawah Pakatan Rakyat untuk turut memberi perhatian dan mengambil tindakan wajar selari dengan Kuasa-Kuasa Kerajaan Negeri berhubung tanah rancangan Felda sepertimana yang diperuntukkan dalam Group Settlement Areas Act (Akta Tanah Penempatan Kawasan Berkumpulan), 1960 .
DMPP menyedari betapa sehingga kini hanya Kelantan yang memberikan respon positif dan solidarity terhadap perjuangan para Peneroka melalui kenyataan rasmi Datuk Paduka Husam Musa sebelum ini. Justeru, DMPP mencadangkan agar Selangor dan Kedah turut dapat memberikan perhatian yang sama dalam usaha kita membantu rakyat di semua peringkat.
Akhirnya, DMPP ingin menegaskan bahawa penyenaraian FGVH akan membuka ruang kepada orang luar (bukan bumiputera) menjadi pemegang saham; sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang telah wujud sejak tahun 1956. Polisi Felda seterusnya akan ditentukan pula oleh “orang luar” tersebut dan tentunya ini suatu yang sangat malang kepada orang-orang Melayu yang selama ini telahpun tertipu dengan dakyah pembohongan Umno BN bahawa kononnya mereka adalah “Pelindung” kepada orang-orang serta kepentingan Melayu. Hakikatnya, Umno BN inilah yang telah banyak melakukan kerosakan terhadap masa depan serta kepentingan orang-orang Melayu dan Islam dalam negara ini.harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan