HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Februari 2012

PAS sedia kerjasama demi rakyat Palestin

Bagaimanapun, niat kerajaan BN mestilah untuk membela nasib rakyat Palestin dan bukannya menggunakan isu itu untuk meraih undi rakyat negara ini.



SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata parti itu sedia bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat Palestin.

Bagaimanapun, menurutnya niat kerajaan BN itu mestilah untuk membela nasib rakyat Palestin dan bukannya menggunakan isu itu untuk meraih undi rakyat negara ini.

“Kita tiada masalah untuk bekerjasama (dengan BN) untuk membela rakyat Palestin. Tapi kita tidak mahu tindakan itu hanya untuk meraih sokongan politik daripada rakyat. Cakap lain….buat lain,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat beliau pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sebarang kemungkinan untuk PAS bekerjasama dengan BN, memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai pendirian sama berhubung isu Palestin-Israel.

Khalid turut mengulangi pendirian bahawa PAS tidak akan mengiktiraf Israel termasuk sebarang hubungan dagangan yang dijalankan bersama negara itu.

“Pada ketika ini selagi mana Israel tidak iktiraf Palestin maka perbezaan pendapat yang wujud hanya akademik. Bila Israel iktiraf baru jadi perselisihan dalam alam realiti. Sekarang hanya alam intelektual,” katanya.

Syabas-Puncak Niaga biaya Hasan Ali?

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd menjadi penaja kepada Datuk Dr Hasan Ali, pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (Jati).

“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak tapi saya hanya minta penjelasan dan penafian daripada pihak mereka.

“Timbul persoalan siapa biayai Hasan Ali sedangkan baru-baru ini wujud pelancaran NGO di SACC Mall. Sewa dewan sahaja RM30,000.

Itu belum termasuk perbelanjaan pelancaran, roadshow dan logistik,” katanya.

Beliau mendakwa kedua-dua syarikat terbabit juga mempunyai kepentingan ketika BN memerintah Selangor.

“Saya masih sokong Lynas”

Sementara itu, AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat mengulangi pendiriannya menyokong pusat pemprosesan nadir bumi Lynas dan menyifatkan projek itu tidak membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Pendirian saya masih sama untuk menyokong projek Lynas ini, sekiranya pemantauan diwujudkan,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai pendirian beliau berhubung isu tersebut.

Tiada ulasan: