HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Februari 2012

Peguam : Cuti Badrulamin Bukan Satu Hukuman

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM: Peguambela Dr Badrulamin Bahrom, menegaskan cuti sebulan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada Pengarah Penerangan Selangor itu untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan berkahlwat dengan isteri orang, tidak harus ditafsirkan sebagai satu hukuman terhadap beliau.

Mohamed Sazali Abdul Aziz melihat "nasihat" bercuti untuk memberi keselesaan kepada Badrulamin sementara menunggu hasil keputusan kes itu.

Pejabat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat kejutan apabila "menasihati" Badrulamin bercuti sebulan susulan penahanan beliau oleh Jabatan Agama Islam Pahang hujung minggu lalu bersabit tuduhan berkhalwat dengan isteri orang.

Badrulamin menafikan tuduhan itu dan menegaskan beliau tidak pernah berseorangan dengan wanita berkenaan di bilik hotel berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberitahu pemberita Isnin lalu bahawa beliau masih belum membuat keputusan untuk menerima tawaran bercuti itu namun pejabat Khalid bingkas mengumumkan bahawa Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar akan mengambil alih tugas-tugas Badrulamin.

Tindakan itu menimbulkan spekulasi pejabat Menteri Besar mengambil satu lagi tindakan "menghukum" Badrulamin setelah dikatakan menimbulkan pelbagai kekangan susulan perlantikannya sebagai Pengarah Penerangan Selangor di atas permintaan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2010.

Mohamed Sazali bagaimanapun berkata tindakan kerajaan negeri itu lebih elok dilihat daripada sudut positif.

"Saya beranggapan bahawa maknanya arahan tersebut dibuat bukan atas satu bentuk hukuman kepada Dr.Badrulamin tetapi saya nampak ianya adalah lebih nampak kepada untuk keselesaan dia.

"Maknanya kadang-kadang itu, itu adalah satu cadangan daripada kerajaan negeri sendiri ialah untuk menyatakan apabila ahli dia atau anggota dia menghadapi masalah, maknanya mereka tidak memberi tekanan kepada dia," kata beliau kepada AntaraPos.com.

"Saya tidak mengatakan bahawa langkah tersebut dibuat wajar atau tidak wajar, memang dari segi prinsip, awak boleh bekerja sehingga awak didapati bersalah, dalam konteks itu, Dr.Badrulamin pun boleh berkata kenapa kerajaan negeri minta saya bercuti sebab saya pun masih boleh menjalankan tugas tetapi saya rasa ini adalah satu perkara daripada kerajaan negeri untuk beri dia masa berehat," katanya.

"Jadi itu yang dapat diterjemahkan oleh kerajaan negeri bahawa apabila awak tidak fokus atau apabila awak menghadapai musibah, saya bagi awak cuti, macam itu," katanya.

Selain Badrulamin, dua pemimpin kanan kerajaan negeri kini juga dikaitkan dengan siasatan agensi penguatkuasa.

Timbalan Exco Pertanian Selangor yang juga Adun Sri Muda, Suhaimi Shafie dan Pembantu Exco Belia Dan Sukan, Amirudin Shari dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabit rasuah dalam industri pasir di negeri itu.

Kedua-dua pemimpin itu menafikan sebarang salah laku dan meneruskan tugas seperti biasa, tanpa diarah mengambil sebarang cuti oleh Pejabat Menteri Besar.

Pelantikan Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan Selangor dibuat di atas arahan Anwar setelah wakil rakyat daripada parti itu menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Khalid pada kongres nasional parti itu tahun 2010.

Rasa tidak puas hati itu bertumpu kepada apa yang dilihat oleh pemimpin PKR sebagai kegagalan Khalid membina jentera pilihan raya peringkat parti bagi memastikan Selangor kekal di tangan PKR pada PRU akan datang.

Tiada ulasan: