HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Februari 2012

Perkasa sokong debat Najib-Anwar, Najib bagaimana?

Harakahdaily,

SHAH ALAM: NGO Pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut bersetuju agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyahut cabaran debat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata debat kedua-dua pemimpin itu penting sebagai medan mengemukakan ideologi masing-masing.

“Perkasa menyokong debat antara perdana menteri dan Anwar Ibrahim kerana melalui perbahasan ilmiah berkenaan, kedua-dua pemimpin itu dapat mengemukakan ideologi masing-masing.

“Perkasa juga akan menyokong mana-mana pihak yang selari dengan matlamat dan dasar perjuangan kami,” tegasnya dalam wacana Sinar Harian semalam.

Selain Ruslan Wacana yang bertajuk “Mengapa Undi Melayu Pecah” itu turut menampilkan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai panel manakala moderatornya adalah pensyarah UIA Dr Mazlee Malik.

Dalam debat itu, kesemua mereka juga bersetuju debat antara Najib-Anwar direalisasikan dengan segera.

Dr Dzulkefly ketika mengulas perkara sama berkata, debat berkenaan seharusnya dilaksanakan bagi mereka mengutarakan idea-idea, kerana melalui debat, akan berlakunya pencerahan minda rakyat, dan mereka akan membuat keputusan untuk memilih pemimpin.

“Melalui debat, rakyat diberi ruang untuk membuat keputusan ketika pilihan raya,” katanya.

Ong Tee Keat pula berpendapat debat tersebut perlu untuk percambahan idea kepada masyarakat namun tidak harus dijadikan pentas ceramah politik.

“Saya setuju debat itu dijalankan, tetapi harus bezakan antara debat dan ceramah politik.

"Jika sekadar debat tanpa hala tuju dan wawasan ia tak ke mana, kalau dapat, biarlah dikemukakan perkara yang realistik, dan bukannya retorik,” katanya.

Tiada ulasan: