Harakahdaily, | |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada segenap lapisan masyarakat yang turut hadir dalam Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan pada hari Ahad di Kuantan.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, Himpunan Hijau 2.0 merupakan suatu petunjuk bahawa rakyat bersatu dan bersepakat untuk tidak mengizinkan walau seinci pun bumi di Pahang, bahkan di mana-mana tempat di negara ini dari dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkan alam sekitar.
Tambahnya, Himpunan Hijau 2.0 juga memberi isyarat kepada pemerintahan Umno BN supaya mendengar pandangan rakyat dalam apa juga isu yang membabitkan mereka.
“Zaman pemimpin negara memerintah secara diktator dengan sombong dan angkuh sudah berlalu, dan kini adalah masa untuk pemimpin dan rakyat saling bekerjasama dalam menangani sesuatu isu yang timbul,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Pastinya, ujar beliau Himpunan Hijau 2.0 adalah menifestasi kebangkitan rakyat setelah pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan ianya selesai di meja rundingan gagal.
Menurutnya lagi, meskipun Perdana Menteri menyatakan bahawa loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi ‘fakta dan saintifik’, namun demikian rakyat tidak peduli dengan kenyataan beliau.
Ini, ujarnya menunjukkan bahawa PM sendiri gagal meyakinkan rakyat supaya mendengar penjelasan beliau terhadap isu itu.
Bagi rakyat, tambahnya mereka lebih peka terhadap alam sekitar kawasan mereka memandangkan mereka sendiri yang merasainya.
Beliau berkata, rakyat tidak melihat PM dan anggota kabinet merasai denyut nadi kehidupan rakyat di bawah kerana mereka dipisahkan oleh kehidupan pemimpin negara yang begitu eksklusif dan elit.
Tambahnya lagi, Himpunan Hijau 2.0 menyaksikan bumi Pahang yang selama ini menjadi benteng kukuh dan ampuh buat Umno BN bukan lagi menjadi kubu yang selamat kepada mereka.
“Mereka tidak lagi boleh mendabik dada mendakwa negeri dan kawasan tertentu sebagai fixed deposit kepada mereka.
“Bahkan, ramai berandaian Pahang bukan lagi kawasan subur buat Umno BN memerintah. Segalanya boleh berlaku sekiranya pemimpin Umno silap percaturan,” ujarnya.
Justeru, katanya DPPM beranggapan, apa pun alasannya, kerajaan perlu segera menghentikan operasi Lynas demi kemaslahatan rakyat.
“Jika tidak bersedialah menghadapi hukuman rakyat dalam PRU ke 13 nanti. Pahang mungkin akan menjadi paku terakhir buat keranda Umno di negara ini,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan