Memetik jawapan yang diberikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Dewan Rakyat pada 31 Oktober tahun lalu, Rafizi berkata Najib yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Projek Fidlot Negara pada tahun 2006.
Jawatankuasa itu menerima bidaan daripada enam syarikat, termasuk dari Felda Farm Products Sdn Bhd, anak syarikat Felda Plantations Sdn Bhd, dan Agroscience Industries Sdn Bhd bagi mendapatkan projek mega itu.
Jawatankuasa itu kemudiannya memilih Agroscience Industries dan Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd untuk dipertimbangkan lanjut tetapi Lamberts kemudian menarik diri. Justeru, Agroscience Industries menjadi syarikat tunggal untuk melaksanakan projek itu.
Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1995 dengan modal berbayar sebanyak RM10 juta dan pada 31 Disember 2010 telah membuat keuntungan RM9.6 juta.
Manakala Agroscience Industries yang hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan tidak mempunyai pengalaman dalam perternakan lembu.
"Tidak perlu seorang genius untuk memikirkan mana syarikat terbaik untuk diberikan projek itu," kata Rafizi.
"Najib tidak boleh lepas tangan dan berdiam diri seperti apa yang dilakukannya sejak enam bulan yang lalu.
"Jika beliau tidak memberi maklum balas, kami akan mendedahkan sesuatu," kata Rafizi, sambil mencabar Najib untuk menjadi ‘lelaki budiman’ (gentleman).
"Saya tidak mahu menggunakan perkataan pengecut. Tetapi setakat ini perkataan untuk menggambarkan Najib yang meninggalkan Shahrizat keseorangan menangkis isu ini, adalah bukan lelaki budiman."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan