ANTARA POS.COM
SHAH ALAM : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu pihak berkuasa Islam negara ini melarang penyanyi kelahiran Dallas, Texas, Erykah Badu daripada mengadakan konsert di Kuala Lumpur Rabu kerana penyanyi itu menggunakan tatu kalimah Allah di dadanya.
Harussani menegaskan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini adalah dilarang sama sekali dan undang-undang mengenainya amat jelas.
" Selain umat Islam, kita tidak benarkan sesiapa menggunakan kalimah Allah dan itu sudah digazetkan pun,"tegas beliau kepada AntaraPos.com.
Penyanyi hip hop dan jazz itu dijadual mengadakan konsert sulungnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Rabu ini setelah ditunda minggu lalu. Kuala Lumpur adalah persinggahan pertama Badu dalam siri jelajahnya ke Asia dan Australia.
Konsert di KLCC itu dikendalikan oleh Pineapple Concerts Sdn Bhd, pegawai-pegawai syarikat itu tidak dapat dihubungi untuk mengulas.
Harussani berkata jika Badu memadamkan tatu kalimah itu sekali pun, beliau tidak harus dibenar mengadakan konsert berkenaan kerana tetap dianggap sebagai mencemari kesucian Islam.
" Kalau kita lihat dari segi sensiviti..., kita tak benarkan guna kalimah Allah kerana tidak meletakkan di tempat yang mulia," ujar beliau.
Akhbar The Star hari ini membuat permohonan maaf kerana menyiarkan gambar Badu dengan tatu kalimah Allah di kedua belah dadanya.
Selain tatu kalimah Allah, simbol lain pada dada dan lengannya yang terdedah memperlihatkan huruf-huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan