HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Februari 2012

Anak mohon campur tangan Sultan negeri

Usaha ini dibuat untuk memastikan supaya Tanah Felda Plantations di negeri masing-masing tidak dipajak kepada Felda Global Ventures Holdings (FGVH).



PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadap Duli Tuanku Sultan Negeri-negeri mulai Mac ini bagi menyekat hasrat kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia Mei depan.

Menulis dalam harakahdaily hari ini, Presidennya Mazlan Aliman berkata Anak bersama Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan memohon perkenan Tuanku Sultan agar campur tangan supaya Tanah Felda Plantations di negeri masing-masing tidak dipajak kepada FGVH.

“Bahkan Anak akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang bercadang memajukan tanah Felda Plantation seluas 55,000 hektar dengan memasukkan 8,000 peneroka baru terdiri daripada anak Kelantan sangat relevan, sesuai dengan saranan Anak selama ini.

Himpunan Rakyat Perdana

Dalam isu berkaitan, Mazlan berkata Anak menyokong penuh usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan bantahan penyenaraian FGVH yang bakal diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac ini di Putrajaya.

Bahkan, jika ianya gagal melunakkan pendirian Najib untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei depan seperti disebut (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Ahmad Maslan maka satu Himpunan Rakyat Perdana dijangka akan diadakan pada April ini.

“Puluhan ribu warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Ingat, nasib Kerajaan Barisan akan ditentukan melalui undi 55 kawasan Parlimen dan 92 Dewan Undangan Negeri yang ada pengundi Felda pada PRU (Pilihan Raya Umum) ke 13 nanti,” tambah beliau.

Tiada ulasan: