Nazri Abdullah, | |
KUANTAN: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut juga turut menyeru rakyat bersama menentang sebarang usaha atau projek yang disifatkannya 'membahayakan nyawa' manusia.
"Kita harus pertahan nyawa kita. Jangan biarkan segelintir kecil orang di atas 'makan' ratusan rakyat di bawah.
"Kita harus berlawan. Sediakan rumah yang baik untuk anak cucu kita," katanya ketika berucap pada Himpunan Hijau 2.0 membantah Lynas di padang Majlis Perbandaran Kuantan, di sini pagi ini.
Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut berucap pada program itu pula mahu rakyat menolak pemimpin yang bersekongkol dengan Lynas.
"Hari ini Bersih bersama Hijau. Kita tolak Lynas, kita tolak sesiapa sokong Lynas.
"Kita inginkan kerajaan yang dengar apa rakyat nak, bukan kerajaan yang nak rakyat dengar apa yang mereka nak," katanya.
Turut hadir pada himpunan hari ini, beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat lain termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Penasihat dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar.
Hampir 20,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum yang majoritinya Tionghua hadir menyatakan bantahan di perhimpunan aman Himpunan Hijau 2.0 hari ini.
Perhimpunan hari ini dianjurkan oleh lebih 80 NGO prihatin dan turut mendapat sokongan parti-parti politik Pakatan Rakyat khususnya PAS, PKR dan DAP.
Dihujung himpunan itu hari ini, mereka turut bertafakur sejenak bagi mendoakan kempen anti Lynas berjaya sehingga operasi Lynas dibatalkan.
Sebagai bantahan juga, mereka meletakkan tangan secara bersilang di dada masing-masing sambil membacakan ikrar.
Dua tuntutan dalam ikrar itu termasuklah mendesak agar kerajaan membatalakan segera projek nadir bumi Lynas yang disifatkan memudaratkan rakyat Malaysia.
Mereka juga mendesak agar kerajaan memastikan segala rancagan pembgunan adalah mapan dan sejajar dengan prinsip piagam bumi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan