HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Februari 2012

Kutipan derma kilat untuk sampaikan mesej: Mereka tidak keseorangan!

Chen Shaua Fui


Sebaik sahaja keputusan mahkamah sesyen diumumkan, sekumpulan warga internet melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu mereka yang disabit kesalahan kerana terlibat dalam perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009. Antara yang melancarkan kutipan derma ini, Koh Wee Sun berkata, usaha ini sekadar untuk menyampaikan satu mesej, "Mereka tidak keseorangan!"

Secara terus terang, Koh Wee Sun mengakui bahawa dirinya tidak pasti sama ada mereka mampu untuk mencapai angka yang diperlukan. Bagaimanapun, usaha ini bukan sekadar kutipan wang semata-mata, tetapi untuk menunjukkan kepada mereka yang didenda, bahawa ramai lagi yang nampak dan menghargai perjuangan mereka.

Koh Wee Sun ialah seorang suri rumah tangga. Beliau pernah memberikan sejambak bunga kepada Muhammad Safwan Anang melalui Chua Yee Ling (gambar kiri, ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, berbaju hijau) ketika aktivis siswa itu dimasukkan ke dalam wad kecemasan, lantaran kejadian pertembungan fizikal dalam satu perhimpunan pada awal pagi 1 Januari 2012, di luar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 【Mengapa saya terfikir untuk beri bunga kepada Safwan?

Koh Wee Sun terharu apabila membaca tulisan salah seorang tertuduh, Nashita Md Noor di MerdekaReview, semalam. Koh menganggap Nashita yang juga seorang ibu, telah ke depan untuk memperjuangkan isu-isu keadilan sosial, sedangkan dirinya masih selesa dalam zon yang selamat. Semalam, Koh yang berada di Johor Bahru, menyeru dalam laman sosial Facebooknya, agar rakannya hadir di mahkamah untuk memberi sokongan kepada Nashita, pada hari ini.

Sehingga jam 4 petang, Koh memaklumkan kepada MerdekaReview bahawa beliau telah berjaya mengutip lebih RM12,000, dan angka ini masih bertambah. 11 orang tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM2000, dan penjara sehari. Mereka wajib menjelaskan denda RM2000 pada hari ini, atau akan dipenjarakan 7 hari. Untuk menangguhkan hukuman penjara, mereka perlu membayar wang jaminan RM500.

Baca: Penjara 1 hari, denda RM 2000 untuk 11 yang perjuangkan pemansuhan ISA

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disunting dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan: