HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Februari 2012

Lynas: Bantahan rakyat diterjemah pada PRU13

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan segala kemarahan rakyat yang hadir pada Himpunan Hijau 2.0 membantah Lynas di seluruh negara hari ini akan diterjemaahkan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya, segala balasan yang diberikan oleh rakyat itu akan ditanggung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana keangkuhan beliau dan Kerajaan Persekutuan enggan mendengar rintihan rakyat terhadap bencana yang bakal menimpa apabila loji tersebut beroperasi.

"Rakyat sekarang sudah cerdik dan boleh menilai setiap apa kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan terutamanya yang membabitkan bencana alam sekitar serta nyawa manusia dalam jangka masa yang panjang," jelasnya sewaktu menghadiri Himpunan Hijau 2.0 di hadapan bangunan Maju Junction, di sini pagi tadi.

Beliau yang turut memberi ucapan di hadapan ratusan rakyat yang berhimpun itu menjelaskan himpunan hari ini menyaksikan penampilan demostrasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini kerana ia melibatkan pelbagai kaum dan juga peringkat umur.

"Tahniah kerana hari ini rakyat berbilang kaum turut hadir menyatakan sokongan mereka terhadap membantah pembinaan loji Lynas itu, dan saya pasti mereka ini hadir buka atas dasar parti tetapi atas rasa tanggungjawab mereka.

"Saya melihat lebih kurang 50 peratus mereka berumur 30 tahun ke bawah dan ini satu yang mengejutkan kerana mereka inilah merupakan golongan pengundi muda yang boleh menentukan siapa yang mereka ini pilih pada pilihan raya nanti," ulasnya.

Dr Dzulkefly berpendapat, golongan pertengah inilah merupakan undi penentu dan pada masa ini ia merupakan isyarat awal kepada Barisan Nasional terhadap apa yang bakal mereka hadapi nanti.

"Mereka hadir kerana rasa tanggungjawab mereka kepada negara ini dan juga kepada generasi yang akan datang, sudah pasti apabila bantahan mereka tidak didengari oleh kerajaan maka undi protes akan berlaku secara senyap," sambung beliau lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menyatakan tidak ada apa-apa yang diperolehi oleh negara ini walaupun Lynas menyatakan akan untung RM8 bilion setahun dengan modal permulaan sebanyak RM700 juta kerana sikap murah hati kerajaan memberi pelepasan cukai hampir 10 tahun.

"Apa yang rakyat perolehi adalah kesan radioaktif serta malapetaka dan bencana alam sekitar yang akan ditanggung selama-lamanya, malah ia mengambil masa yang lama untuk ditangani secara selamat," kata beliau. Himpunan aman yang bermula pada jam 9 pagi itu berakhir sekitar pukul 12 tengah hari.

Tiada ulasan: