Oleh Haris Zuan
Debat antara Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek masih lagi hangat diperbincangkan. Masyarakat nyata teruja dengan pendekatan debat ini. Banyak perbincangan, wacana dan cakap-cakap yang terbit sebaik sahaja debat ini tamat.
Sungguh pun tajuknya seakan mirip kepada isu kedudukan politik dan sikap orang Cina, ternyata Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek berjaya menggerakkan tema ini jauh daripada sekadar itu.
Paling nyata, masyarakat kini dapat menilai betapa politik Malaysia larut dalam sentimen kebencian yang amat.
Di satu sisi, selama ini UMNO melalui Utusan Malaysia menakut-nakutkan orang Melayu bahawa PAS akan ‘tunduk’ kepada DAP dan menjadi ‘kuda tunggangan’ apabila agenda Islam akan dikesampingkan dan kuasa mahkamah Syariah akan dirombak.
Manakala pada sesi perdebatan Guan Eng dan Soi Lek ini, kita dengan jelas dapat melihat betapa MCA mengugut orang Cina agar menjauhi DAP kerana DAP dianggap tidak lebih dari perkakas PAS untuk menegakkan negara teokratik (sudah tentunya dalam konotasi dan kefahaman yang sempit) di Malaysia!
Bangsa Malaysia sudah lelah dengan perkauman dan kebencian. Kita harus berganjak kepada politik yang lebih matang, dan sebagaimana yang dikatakan oleh Guan Eng, menuju kepada politik dasar, polisi, bukan emosi.
Inilah tujuannya perdebatan, bukan untuk mencari kalah-menang yang total; tetapi menerbit dan merancakkan wacana, kerana pada akhirnya, masyarakatlah yang akan menentukan idea mana yang lebih baik.
Menafikan keperluan debat
Namun, sebagaimana dijangka, perdebatan ini bukan sesuatu yang menguntungkan Barisan Nasional, khasnya Presiden UMNO Najib Razak, yang sehingga kini cuba menyembunyikan kegentarannya berdebat bersama Anwar Ibrahim.
Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan yang amat mengelirukan: ‘debat bukan budaya kita’ sebagai usaha melindungi air muka Perdana Menteri yang malu alah apabila dijemput berdebat bersama Anwar Ibrahim.
Maaf, tidak ada keperluan untuk kenyataan Ahmad Maslan ini saya ulas; terlalu memalukan. Malah, Utusan pun tidak sanggup untuk mengulas panjang kenyataan Ahmad Maslan ini!
Ternyata usaha Ahmad Maslan (untuk membodek) gagal. Kini, setelah masyarakat menyaksikan debat antara Guan Eng dan Soi Lek, mereka mahukan sesuatu yang lebih lagi kerana sedar, ada yang tidak cukup jika hanya berhenti pada tingkat ini.
Perlahan-lahan bisik-bisik yang sebelum ini seakan reda, tiba-tiba menjadi ngauman yang meresahkan. Masyarakat mahu debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pula! Permintaan ini sangat menakutkan. Ahmad Maslan seorang tidak mampu untuk menahan keinginan masyarakat yang meluap-luap ini.
Dr Mahathir dibawa masuk. Bukan untuk menjawab Anwar tetapi hanya untuk mengatakan Anwar sesumpah! Sekali lagi, cubaan ini gagal.
Usaha untuk mengalihkan perhatian kepada perdebatan ini dengan mengapi-apikan propaganda Anwar sebagai pro-Israel juga tidak berjaya. Buktinya sangat mudah, Utusan sehingga kini menyiarkan banyak (bukan beragam) ‘pandangan’ untuk menafikan keperluan diadakan debat antara Najib-Anwar.
Terbaru, UMNO-BN seakan terdesak apabila menggunakan khidmat (pseudo) akademis untuk mengukuhkan pandangan bahawa masyarakat negara ini tidak perlu untuk membandingkan pandangan dan kerangka pembangunan antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang. Tiada kredit untuk acara begini. Masyarakat hanya perlu percaya bahawa gagasan kerajaan kini adalah yang terbaik. Jangan soal-soal lagi.
Malangnya, ‘tokoh’ yang mereka dapatkan untuk melakukan beban ‘maha’ sukar ini ialah Tan Sri Ibrahim Abu Shah, bekan Timbalan Naib Canselor UiTM. Apa hujahnya?
”Saya sokong kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa debat ini membuang masa, lebih baik Perdana Menteri beri tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan jentera Barisan Nasional terutama menjelang pilihan raya umum ini,”
(Dipetik daripada Utusan, 22 Februari 2012)
Sudah tentu daripada kenyataan beliau ini, menunjukkan bahawa beliau tidak melihat debat sebahagian daripada usaha mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya. Saya tidak mahu menaruh syak bahawa kerja-kerja mengukuhkan jentera parti yang dimaksudkan oleh Ibrahim itu merujuk kepada 3M semata-mata; Money, Machinery and Media.
Hujah Ibrahim bahawa debat ini hanya membuang masa, seolah-olah menghina ‘anugerah’ Malaysian Book of Record yang diperolehi oleh UiTM sendiri; debat Bahasa Melayu paling panjang dalam dunia, 211 jam tanpa henti! Malah rekod ini mengatasi rekod lamanya sendiri, 100 jam pada tahun 2006!
Keengganan berdebat hina kewarasan masyarakat
Keengganan Perdana Menteri untuk berdebat, dengan memberikan alasan-alasan tidak masuk akal sebegini sangat menghina pemikiran masyarakat. Alasan bahawa perdebatan sebegini belum tiba masanya dan tidak sesuai dengan tahap kematangan masyarakat lagi menimbulkan lebih banyak persoalan.
Apakah yang dimaksudkan dengan kematangan masyarakat ini? Bagaimana cara mengukurnya? Apa indikatornya?
Perdebatan dalam negara yang mengamalkan demokrasi sangat penting dalam membantu masyarakat membuat keputusan dan menentukan sikap politik mereka. Pada asasnya, sistem demokrasi mengandaikan masyarakat sebagai makluk rasional yang mampu untuk menentukan baik dan buruk jika diberikan makulmat yang cukup. Tanpa maklumat yang cukup, demokrasi tidak lebih daripada prosedural pilihan raya sahaja.
Maka, sebab itu, perdebatan ini sangat mustahak. Seharusnya, Perdana Menteri menggunakan kesempatan ini untuk menafikan dakwaan pembangkang selama ini terhadap salah laku, penyelewengan dan ketidakcekapan pentadbirannya.
Mengapa Perdana Menteri tidak menjadikan platform debat ini sebagai medan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mampu melaksanakan agenda Buku Jingga mereka? Mengapa Najib tidak melihat ini sebagai peluang terbaik untuk pihak kerajaan membidas segala kritikan pembangkang dan menawarkan pelan pembangunan yang jauh lebih baik.
Soalan terakhir yang paling sederhana, mengapa Perdana Menteri masih tidak sanggup berdebat meski pun Anwar rela memberi masa yang lebih kepada beliau? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan