HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Februari 2012

BR1M: Penghuni rumah panjang minta PAS bantu

Harakahdaily,

BATANG LUPAR: PAS Sarawak dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Petra Jaya telah mengadakan Misi Kebajikan di Rumah Panjang Belimbing, Sebuyau, kelmarin.

Program itu adalah rentetan daripada program kebajikan dan khidmat masyarakat oleh Skuad Medik PAS Petra Jaya baru-baru ini yang diketuai oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Petra Jaya, Mohd Tarmizi bersama 8 Ahli Jawatankuasa PAS Sarawak dan Pemuda PAS Kawasan Petra Jaya.

Rombongan tersebut yang turut disertai Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus selaku Yang Dipertua PAS Batang Lupar disambut oleh wakil PAS di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat juga turut menyelami masalah dan keluhan dari penduduk rumah panjang di samping menyantuni masyarakat di kawasan sekitarnya.

Di samping itu, beliau yang mesra dengan panggilan Abang Mat juga menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan harian kepada 50 buah keluarga di situ. (Gambar)

“Sumbangan ini untuk semua penduduk di sini. PAS sebuah parti yang memperjuangkan negara berkebajikan akan mengagihkan bantuan kepada sesiapa sahaja merestasi sempadan politik, agama atau bangsa,” kata beliau ketika pada sesi ramah mesra di situ.

Di sepanjang lawatan ke kampung tersebut, dapati juga terdapat beberapa orang tua atau ibu tunggal yang tidak mendapat wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Penduduk yang sangat kecewa tersebut memohon bantuan daripada PAS, untuk menyuarakan masalahnya kepada pihak yang berkenaan.

Selain itu, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di rumah panjang tersebut dan rumah-rumah panjang sekitar adalah kejadian banjir yang sering melanda di situ.

Rombongan PAS Sarawak yang dimaklumkan oleh penduduk berasa amat kecewa dengan wakil rakyat di situ yang hanya hadir ketika majlis pemberian BR1M sahaja.

Sudah banyak kali mereka buat aduan kepada pihak berkenaan dan wakil rakyat, tetapi langsung tidak ada sebarang tindakan diambil.

Rata-rata penduduk di situ mengalami kerugian kerana rumah panjang yang didiami dinaiki air ketika ditimpa musibah banjir beberapa bulan yang lepas.

Menurut seorang penduduk di situ, faktor penyumbang utama rumah panjang dinaiki air adalah tanah rendah dan tiada sistem saliran air yang sempurna.

“Ini baru masalah banjir, belum lagi masalah ketiadaan bekalan elektrik. Bukan satu tahun atau dua tahun tapi sudah puluhan tahun perintah (BN) janji macam-macam,” kata wakil penduduk kampung kepada Abang Mat.

Misi Kebajikan di Rumah Panjang Belimbing, Sebuyau itu berakhir pada jam 6 petang.

Tiada ulasan: