Oleh: Aedi Asri Abdullah
SHAH ALAM- Kerajaan Malaysia bertanggungjawab membantu syarikat perkapalan kargo Israel, Zim Integrated Shipping Services Ltd terus berkembang di Malaysia, kata Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Azmizam Zaman Huri.
“Kapal-kapal kontena Israel berlabuh di seluruh dunia. Dengan membenarkan kapal mereka berlabuh di Malaysia, ini secara langsung membantu kelancaran operasi syarikat mereka.
“Syarikat kapal kargo dari Israel ini bukan sahaja dibenarkan berlabuh, malah turut dibenarkan memiliki pejabat mereka sendiri di West Port,” jelas Azmizam.
Beliau turut menambah, selepas syarikat perkapalan Malaysia MISC Berhad menghentikan operasi penghantaran kargo, syarikat tempatan yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport akan semakin kekurangan pilihan.
Pada November tahun lalu, MISC Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan akan menghentikan perkhidmatan perkapalan kontenanya pada akhir Jun depan, berikutan perubahan radikal dalam industri perkapalan serta kerugian besar dalam segmen berkenaan.
“Tidak dapat tidak, ada di antara syarikat tempatan yang akan mendapatkan khidmat kapal kontena Israel.
“Kerajaan mendakwa tiada kuasa untuk menyekat perdagangan oleh pihak-pihak lain dengan Israel, sedangkan pastinya ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum mana-mana pihak dibenarkan berlabuh di sini”, kata beliau lagi.
Kerajaan Malaysia terus mendapat bantahan selepas pendedahan berkenaan kapal kargo dari Israel, Zim Europa dan Zim USA yang berlabuh di Pelabuhan Kelang terus dari Ashdod, Israel.
Kerajaan bagaimanapun menafikan wujudnya hubungan diplomatik dan politik dengan Israel dan mengatakan hubungan dagang terpaksa dilakukan atas ‘tuntutan globalisasi’.
Dalam pada itu, Azmizam berkata, kerajaan Umno-Barisan Nasional cuba menutup isu sebenar dengan mendakwa hubungan dagang dengan Israel bermula pada tahun 1996, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam kabinet.
“Dakwaan ini tidak relevan. Dokumen yang ada pada kita menunjukkan kapal-kapal mereka mula berlabuh pada tahun 2003″, kata Azmizam lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan