HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Februari 2012

Fitnah! Saya Tidak Berkhalwat - Wanita Kes Dr Badrulamin

Post Pic

ANTARA POS.COM


ROMPIN : Wanita yang didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahrom menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sambil menyifatkan ia satu fitnah.

Bercakap kepada Sinar Harian, wanita berkenaan yang enggan namanya disiarkan menjelaskan keadaan sebenar berhubung insiden tersebut.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrulamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya,"jelas wanita itu.

Malah ujarnya, beliau yang sudah lama mengenali Badrulamin dan isterinya sedang mengalami krisis rumah tangga dan menemui Badrulamin atas tujuan untuk melarikan diri daripada suaminya.

“Saya pergi menemui ustaz Badrulamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.

“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini,"ujarnya lagi.

Beliau juga nyata kesal dengan sikap sesetengah pihak yang lebih mudah menuding jari tanpa memberi ruang kepada beliau dan Badrulamin membela diri.

“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya.

Wanita itu juga memberitahu beliau sudah mengemukakan tuntutan cerai terhadap suaminya kerana merasakan ia jalan penyelesaian terbaik dalam konflik rumah tangganya.

“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Tiada ulasan: