KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : KEADILAN menyelar keputusan kerajaan menggunakan RM1.5 bilion daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membantu membiayai skim pembelian rumah kos rendah.
Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, mempersoalkan mengapa dana KWSP digunakan sedangkan bank komersil sendiri tidak menganggap skim itu berdaya maju dan bersedia memberi pinjaman.
“Malah bank-bank juga tidak bersedia memberi pinjaman. Apakah yang dilakukan oleh panel pelaburan KWSP?
“Mengapa wang KWSP yang digunakan sebagai wang saku BN?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, pada sidang media hari ini.
Sekurang-kurangnya empat bank telah diminta membantu menggubal draf perjanjian pembiayaan itu.
“Kita tidak mahu situasi seperti krisis pajak gadai subprima di Amerika Syarikat, di mana peminjam tidak dapat membayar ansuran mereka, jadi KWSP bukan bank (dalam kesusahan),” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dana KWSP juga telah digunakan untuk membiayai projek transit aliran ringan (LRT).
“Kerajaan tidak boleh membeli undi sesuka hati semata-mata kerana pilihan raya semakin dekat.
“Awak (kerajaan) boleh membantu Projek Perumahan Rakyat (PPR), tetapi jangan gunakan dana KWSP bagi maksud itu,” katanya, lapor Malaysiakini.
Isnin lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin dilapor mengumumkan “skim pembiayaan mudah” untuk 20,000 penyewa PPR yang layak dan bakal pembeli yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank.
Ketua Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini juga menyelar tindakan itu dengan mengatakan bahawa peranan KWSP adalah memastikan pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.
Kedua-dua mereka, Pua dan Nurul Izzah mencadangkan Bank Rakyat dan Malaysia Building Society Bhd mengambil-alih tanggungjawab itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan