PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersabit isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang membabitkan keluarganya selama dua jam sebentar tadi.
Sharizat tidak mengulas soal siasat itu tetapi menekankan beliau berterima kasih kepada SPRM kerana memberi peluang untuk beliau menjelaskan kedudukannya bersabit NFC yang diuruskan oleh suaminya Datuk Mohamad Salleh Ismail.
"Sebenarnya saya mengambil cuti, dengan harapan pihak SPRM akan memanggil saya hari ini untuk membuat penyiasatan rapi sama ada saya terlibat atau tidak dengan NFC," kata beliau kepada pemberita.
"Alhamdullilah pada hari ini adalah giliran saya untuk disiasat. Jadi saya datang dan saya mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana memanggil saya dan saya datang ... 2jam lebih mereka bertanya dengan isu NFC," katanya.
"Saya datang sini sebab saya adalah isteri kepada Datuk Salleh. Jadi saya ingin menyatakan saya tidak pernah terlibat langsung dengan NFC," katanya.
Soal siasat itu diadakan selang beberapa jam pembangkang membuat dakwaan baru bersabit isu itu. Pengarah Strateji Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli mendakwa keluarga Sharizat membeli dua lagi kondominiium mewah bernilai RM35 juta di Singapura.
Pembiayaan pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Center dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut. Rafizi mendakwa sebahagian simpanan itu adalah dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi NFC.
Ditanya mengenai tuduhan itu, Sharizat berkata : "Mengenai isu lain saya tak tahu."
Ketua Wanita Umno itu dilihat memasuki pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 4.00 petang tadi.
Rafizi dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin disaman oleh Sharizat bersabit dakwaan-dakwaan yang dibuat mengenai NFC sejak akhir tahun lalu,
Menteri itu menegaskan beliau tidak ada kena-mengenai dengan projek NFC yang diuruskan oleh suaminya dan tidak akan meletak jawatan dalam kerajaan, mahupun sebagai Ketua Wanita Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan