HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Februari 2012

Mengapa Najib membisu kekejaman Syria?

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad mempertikaikan tindakan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mendiamkan diri dalam soal keganasaan yang sedang berlaku di Syria.

"Hari ini kita melihat satu desakan awal rakyat Malaysia berhubung dengan keganasan yang berlaku di Syria.

"Desakan ini merupakan kebencian kita sebagai rakyat Malaysia yang mana keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh kerajaan Syria di bawah rejim Presiden Bashar Al-Assad telah melanggar hak asasi manusia," jelasnya pada himpunan aman di hadapan Kedutaan Syria, di sini, petang ini sebagai membantah kekejaman rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad membunuh rakyatnya.

Memorandum juga diserahkan kepada wakil kedutaan Syria mendesak agar dihentikan segera keganasan serta Presiden Bashar perlu meletak jawatan.

Beliau berkata, Malaysia salah sebuah negara yang turut berada dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu membuat desakan agar diadakan persidangan khas bagi membincangkan keganasan tersebut.

"Tapi apa yang menghairankan kepada Malaysia sehingga sekarang masih lagi berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keganasan tersebut.

"Sepatutnya sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC, Malaysia boleh mendesak agar diadakan persidangan khas bagi membincangkan isu tersebut dan ini dapat menyelamat rakyat Syria dari terus menjadi mangsa kepada rejim yang zalim itu," sambungnya.

Tambahnya lagi, keganasan tersebut perlu dihentikan segera dan sebagai sebuah negara yang menghormati hak asasi serta menentang kezaliman desakan agar Bashar Al-Assad akan diteruskan jika keganasan tersebut masih terus berlaku.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempersoalkan kenapa Najib begitu takut untuk mengeluar kenyataan mengutuk keganasan tersebut.

"Kenapa Malaysia masih berdiam diri walaupun telah beribu rakyat Syiria dibunuh tanpa sebab, adakah Najib takut akan mendapat kecaman dari pihak lain dan itu sepatutnya diperjelaskan.

"Ini adalah satu permulaan dan kita akan pastikan himpunan seperti ini akan terus berlaku pada masa akan datang, kenapa kita perlu takut untuk berhimpun kalau apa yang dilakukan di Syria jelas bersifat kejam.

"Saya hari ini mendesak agar Najib mengeluarkan kenyataan beliau samada menyokong tindakan Bashar Al-Assad itu ataupun tidak, rakyat juga ingin tahu pendirian Malaysia dalam soal tersebut," jelasnya lagi.

Sebelum itu perarakan perhimpunan aman itu telah telah disertai lebih kurang 150 orang yang terdiri dari pimpinan parti politik di dalam Pakatan Rakyat dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Selain itu juga terdapat rakyat Syria yang tinggal di negara ini juga hadir memberi sokongan bantahan tersebut.-Harakahdaily

Tiada ulasan: