ANTARA POS.COM
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin yang dijangka akan ditubuhkan merangkumi seluruh negara, bukan di Sabah sahaja.
"Kami menyeru kerajaan supaya menubuhkan (Suruhanjaya Diraja) segera dan tidak hanya membataskannya di Sabah sahaja kerana ia adalah isu nasional," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang mendia yang diadakan di ibupejabat parti itu, di Tropican, di sini, petang tadi.
Beliau menambah, Pakatan juga mahu pihak berkuasa mengesahkan kewarganegaraan dan hak mengundi pengundi yang diragui sebelum mengadakan pilihanraya umum (PRU) ke-13.
Anwar seterusnya berkata Pakatan mencadangkan dan mendesak supaya suruhanjaya berkenaan ditubuhkan segera dan disahkan status mereka yang layak atau tidak sebagai warganegara dan seterusnya sebagai pengundi sebelum pilihanraya akan datang.
Menurutnya lagi, rakyat asing yang memenuhi syarat itu bukan menjadi masalah, tetapi yang menjadi masalah ialah kecurigaan terhadap proses serta rasuah yang berkaitan.
"Pertama masalah yang dibangkit setakat ini 42 ribu dalam daftar pemilih yang dikira ragu yang tidak didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah disampaikan kepada seluruh daerah-daerah sejak Oktober 2011. Kalau beberapa jumlah itu kecil tidak akan berbangkit. Tetapi kebanyakkan dariapda 42 ribu itu dianggap ragu kerana tidak berdaftar dengan JPN," tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, Anwar, yang juga Ketua Pembangkang menggesa Suruhanjaya Pilihanraya membatalkan senarai daftar pemilih yang diragui.
Beliau menambah, kebanyakan individu yang tersenarai dalam daftar pemilih tersebut berusia antara 90 dan 100 tahun dan telah diberi ruang untuk mengesahkan antara tiga hingga empat bulan tetapi tidak disahkan.
"Kebimbangan terbesar kita ialah senarai daftar pengundi dan daftar pemilih. Kerana ada beberapa perkembangan yang kita amat prihatin," tambah beliau lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah ketika lawatannya ke Sabah minggu ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata mesyuarat kabinet terkini telah membincangkan perincian mengenai cadangan RCI itu.
"Memang tidak mustahil beliau akan buat pengumuman itu jika anda semua bertanya kepada beliau mengenainya.
"Kami mahu RCI yang bukan sekadar menghasilkan keputusan terbuka tetapi lebih daripada itu dalam menangani isu pendatang tanpa izin ini. "Bagaimana ini berlaku, siapa yang terlibat dan apakah tindakan ke atas mereka yang terlibat. Ini RCI yang tipikal...selalunya dengan keputusan terbuka," ," beliau dilaporkan sebagai berkata kepada wartawan, Jumaat lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan