HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Februari 2012

PM: Tiada jalan singkat untuk polis

Salhan K Ahmad
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pasukan polis perlu menghadapi cabaran untuk menguatkuasa undang-undang mengikut tuntutan masyarakat yang lebih berilmu pada masa kini.

Katanya lagi, kerajaan telah berusaha memansuhkan ISA, Ordinan Darurat dan memperkenalkan undang-undang baru seperti Akta Perhimpunan Aman demi memenuhi tuntutan masyarakat progresif ini.

Maka polis perlu bekerja lebih keras dan lebih profesional untuk menguatkuasa undang-undang baru ini mengikut tuntutan masyarakat semasa.

"Undang-undang baru ini lebih mencabar untuk dikuatkuasakan... Tiada jalan singkat.

"Polis tidak boleh tangkap sesiapa saja (dengan sewenang-wenang), tapi tanya diri kita adakah bukti boleh dipertahan di mahkamah.

"(Proses) mengumpul bukti tidak boleh dikompromi," katanya lagi dalam persidangan kepolisan antarabangsa di Bandar Sunway, Petaling Jaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pasukan berkenaan yang menjadi badan pertama yang menyertai Bidang Keberhasilan Negara (NKRA).

Usaha mengurangkan kadar jenayah merupakan salah satu daripada enam agenda berkenaan dan polis telah berjaya mencapai pengurangan sebanyak 10 peratus.

Malah, polis juga telah berjaya mengurangkan lebih 40 peratus kadar jenayah jalanan, katanya di program yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Tambahnya, polis juga tidak seharusnya patah semangat walau terdapat sebilangan masyarakat yang mengatakan bahawa mereka masih berasa tidak selamat.

Katanya, suara seperti itu masih kedengaran walau kajian yang dijalankan tahun lalu menunjukkan bahawa keyakinan rakyat terhadap polis telah pun meningkat sehingga 70.5 peratus tahun lalu.

Tambahnya, usaha berkenaan juga dapat dijalankan hanya dengan sedikit peningkatan bajet untuk polis, serta kerjasama antara polis dan juga perkhidmatan awam.

Langkah itu juga membolehkan lebih ramai anggota polis ditugaskan di luar dan bukannya menjalankan kerja-kerja pejabat.

Tiada ulasan: