HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 April 2012

Ahli Umno: 'Sudah terlalu lama, saya tidak ingat'

Wartawan Sinar Harian

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
 
KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak pernah mendaftar atau memohon untuk menjadi ahli Umno, walaupun tidak menolak kemungkinan namanya tersenarai dalam parti tersebut.

“Saya tidak ingat langsung bila dan di mana saya pernah menjadi ahli Umno, boleh jadi ada mana-mana pihak memasukkan nama saya selepas tamat universiti, awal 70-an dulu.
 
“Itu pun saya tidak dapat pastikan di kawasan mana sebab lepas tamat belajar saya tinggal di beberapa tempat, antaranya Segambut, Selayang dan Ampang. Jadi kalau ada pun yang menamakan saya, memang saya tidak tahu di mana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Beliau menjelaskan tidak tahu nombor keahlian, tidak pernah membayar yuran tahunan dan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti, jauh sekali dari memegang apa-apa jawatan parti.
 
“Perkara sudah terlalu lama, saya tidak ingat, hinggalah hari ini (semalam) ada pihak yang membangkitkan perkara ini dalam akhbar,” katanya mengulas berita muka depan Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tidak adil mana-mana pihak mengambil fakta yang sudah terlalu lama dan dilupakan semata-mata untuk dijadikan isu.
 
“Saya ingin menegaskan kalau pun betul ada orang mendaftarkan saya sebagai ahli parti, itu tidak sama sekali menjadikan saya berat sebelah atau bias dalam mengendalikan SPR. Saya tidak pernah berasa terikat sepanjang berkhidmat di sini,” tegas beliau.

Tiada ulasan: