HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 April 2012

NFC: Kita tak takut malah bersedia, kata Rafizi

Muhammad Faizal,

 
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberitahu beliau tidak gentar untuk berdepan sebarang tindakan undang-undang ekoran tindakannya yang berterusan mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Malah menurut Rafizi, beliau sudah bersedia sejak awal lagi untuk berdepan sebarang kemungkinan dan jika didakwa di mahkamah, beliau menganggap itu peluang untuk mendedahkan keseluruhan maklumat kepincangan dalam NFC.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh yang membuat dua laporan polis terhadapnya hari ini.

"Kita tidak takut malah bersedia. Ini adalah yang terbaik untuk kita terus membuat pendedahan kepada pihak berkuasa atas penyelewengan di dalam NFC.

"Itu adalah hak dia (NFC) untuk membuat laporan, dan saya akan memberi kerjasama sepenuh jika dipanggil oleh pihak polis," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Salleh dilapor berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Rafizi dan juga ke atas sebuah bank berhubung dakwaan pendedahan maklumat peribadi perbankan.

Menurutnya, tindakan itu diambil ke atas Rafizi ekoran pendedahan berhubung maklumat perbankan mereka melalui satu sidang media pada 7 Mac lalu.

Mohamad Salleh mendakwa Rafizi menyebarkan butiran perbankan dan penarafan kredit syarikat NFC serta empat lagi syarikat berkaitan – National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd.

Selain itu, Rafizi juga didakwa mendedahkan butiran perbankan peribadi pengarah dan pemegang saham syarikat berkenaan tanpa keizinan mereka.

Tindakan itu didakwa melanggar peruntukan undang-undang bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia).

"Setakat ini ia masih lagi pada peringkat pengurusan di mahkamah dan saya menjangkakan perbicaraan sepenuhnya adalah pada bulan Jun nanti," ujar Rafizi.

Tiada ulasan: