HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Julai 2012

AES: Niaga kesalahan rakyat untuk kayakan kroni?

Muhamad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan kerajaan melantik syarikat berkaitan MCA untuk kontrak projek saman pengangkutan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System – AES) adalah sebagai memperdagangkan kesalahan rakyat untuk kekayaan kroni.

Beliau merujuk kepada tiga peringkat sasaran keuntungan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu pihak kerajaan dengan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

"Terdapat tiga peringkat yang dipersetujui iaitu jika saman dikeluarkan sebanyak 6 juta maka syarikat tersebut mendapat 18 peratus, jika 10 juta saman dikeluarkan syarikat mendapat 19 peratus.

"Manakala jika 16 juta saman dikeluarkan, sebanyak 21 peratus diperolehi oleh syarikat tersebut dari RM300 yang dibayar oleh setiap pesalah trafik," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Bendahari PKR William Leong semalam.

Dalam pendedahan itu Wiliam mendakwa selepas mencecah lima juta saman, pihak kerajaan dan syarikat-syarikat terbabit akan berkongsi keuntungan masing-masing 50 peratus sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

Oleh itu kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan mendapatkan 10 juta saman setiap tahun bagi mengelak syarikat mereka dari kerugian.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) berkata tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu lebih kepada memperdagangkan pengguna jalan raya bagi tujuan memperkayakan kroni tanpa menitik berat faktor keselamatan.

"Dalam situasi ini jika kerajaan benar ingin mengurangkan jumlah kemalangan dijalan raya, kerajaan sepatutnya meletakkan sasaran yang rendah kepada kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalanraya.

"Tetapi ini tidak, mereka meletakkan sasaran yang tinggi, jika kesalahan dilakukan amat sedikit maka syarikat kroni tersebut akan mengalami kerugian," kata Ahli Prlimen Pokok Sena itu lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz juga menyatakan kerajaan tidak sepatutnya merangka undang-undang yang merampas kuasa mahkamah untuk menjatuhkan denda kepada pesalah trafik.

"Sebelum ini jika kesalahan dilakukan tidak ada ketetapan minimun ditetapkan dan pemandu masih lagi boleh merayu untuk mengurangkan denda.

"Dengan perlaksanaan pindaan akta denda minimum telah ditetapkan sebanyak RM300 dan maksimum adalah RM2000, ini bermakna pesalah telah dihukum walaupun kita ke mahkamah jumlah minimum RM300 tetap dikenakan kepada pemandu dan tidak ada rayuan," sambungnya lagi.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu, ahli parlimen Pakatan Rakyat membantah keras pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

Tiada ulasan: