HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Julai 2012

Artis masuk PAS- Kesedaran mereka sendiri.



Oleh: Rossem

 
Sebelum ini kalau ada berita artis masuk PAS disiarkan media massa dianggap janggal. Umum akan berkerut dahi, memikirkan kenapa artis boleh masuk PAS?

Artis-artis juga ketika itu tak berani mendekati PAS, khuatir periuk nasi mereka tak berasap.

Namun setelah tahap kesedaran rakyat Malaysia semakin melonjat, satu demi satu keburukan UMNO/BN terungkai, dengan pemimpinnya yang korup, salah guna kuasa dan sebaginya, maka golongan artis mula berani untuk menyatakan “tidak” kepada UMNO/BN, sekaligus bergabung dengan PAS tanpa ragu-ragu. 
Bermula awal 2000 bila seorang penyanyi 80an, Akay Hai menyertai PAS. Artis yang bergelar ustaz ini kemudiannya diberi peluang berceramah di atas pentas PAS. Ternyata penampilannya yang agak berbeza, iaitu berceramah sambil mendendangkan lagu telah berjaya menarik sokongan anak-anak muda kepada PAS.

Sehingga penganjur mengelar program beliau sebagai “Konsert hiburan alternatif”. Program itu kemudiannya diadakan di seluruh Kelantan dan luar Kelantan.

Sebelum itu, di era refomasi (1998-1999) penyanyi lagu bluse terkenal Ito pernah beraksi di pentas Keadilan dan PAS bersama Nasir Jani sang direktor filem.

Keberadaan Akay Hai dalam PAS tak lama, sekitar tahun 2010 penyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan itu ditawarkan slot dakwah di televisyen berbayar. Sejak itu beliau tidak lagi beraksi di atas pentas PAS.

Namun sumbangan beliau kepada “hiburan alternatif” yang dikehendaki PAS tak pernah dilupakan. Beliau dianggap sebagai pelopor atau pembuka denai kepada artis-artis sekarang mendekati Parti Islam.

PAS kini tidak lagi sebuah parti sesuai untuk tok-tok lebai atau ustaz-ustaz seperti anggapan sesetengah pihak. Semua lapisan masyarakat termasuk artis atau selebriti telah bersama PAS.

Bahkan, artis sanggup menghadapi resiko kemungkinan akan kehilangan rezeki kerana menyokong oposisi. Bahkan mereka tidak menolak untuk tampil berceramah di pentas-pentas PAS seluruh negara.

Tsunami penghijrahan artis ke dalam PAS ini bermula setahun lalu (2011) bila artis, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman bergabung dengan PAS.

“PAS akan ku jadikan wadah perjuangan untuk memperkenalkan Allah SWT kepada mereka yang belum kenal kekuasaan-Nya” kata Bob Lokman saat ia mula terpaut hati dengan PAS.

Sejak itu artis-artis dari pelbagai profesion, pelakon, penyanyi, pelawak dan gitaris mula menyertai PAS dan sebahagianya sudah pun ditampilkan di atas pentas Pakatan Rakyat sebaris dengan penceramah terkenal dari kalangan politikus, ustaz, bahkan bersama Mursyidul Am PAS sendiri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gitaris Sam kamikaze, Zuar XPDC, Iwan, Mel Wings, Renggo Arrow, Katarina Ross, Pak Long, dan beberapa artis lain sudah sering kali beraksi di atas pentas PAS terutama di Kelantan. Begitu juga pelakon drama terkenal Mustafa Kamal dan Maya Karem sering hadir pada majlis-majlis PAS atau majlis anjuran Kerajaan Negeri.

Mengejutkan banyak pihak ialah penyanyi terkenal dan juara lagu 1990 Wan Aishah Wan Arifin atau nama glamor Aishah bergabung dengan PAS April lalu.

Penyanyi suara lunak yang popular dengan lagu “janji manismu” itu agak istimewa kerana pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, telah di beri penghormatan untuk berucap di depan ratusan ribu penyokong PAS dari seluruh negara mewakili kelompok artis. “ Bimbinglah kami, jangan pandang serong kepada kami golongan artis” kata Aishah dengan sayu.

Diikuti selepas itu ialah penyanyi Dayangku Intan yang menyertai PKR. Dayang ketika berceramah di kg. Mahligai dalam Dewan Undangan Jelawat menyebut “Kerajaan yang dipimpin UMNO/BN melayani rakyat seperti seorang kaya yang sombong melayani orang miskin. Mereka berasa bangga bila dapat menghulurkan sedikit wang kepada orang miskin dan diketika yang sama menyuruh si miskin menuruti segala kehendak mereka.

“Benar, walaupun kita orang miskin, tapi kita ada maruah. Saya bukan menolak pemberian BR1M (RM500) dan lain-lain bantuan. Ambillah…, kerana itu wang kerajaan, tapi jangan meletakkan taraf rakyat begitu hina, sehingga boleh dibeli dengan wang ringgit”. Kata Dayangku dalam ucapannya di hadapan ribuan hadirin yang memenuhi tanah lapang di UPU Kg. Mahligai.

Menyertai PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem epik Melayu Leftenan Adnan, Hairie Othman (41) bahkan beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun.

Namun bagi Hairie, keputusan yang dibuat adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan selepas menyertai PAS.

“Perjuangan PAS yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah adalah faktor utama mendorong saya menyertai PAS” kata beliau.

“Apabila saya memilih bersama PAS, ramai rakan artis bertanya kenapa mengambil keputusan ini kerana menganggap saya tidak akan mendapat tawaran berlakon lagi. Saya beritahu mereka, saya yakin rezeki Allah ada di mana-mana. Keputusan ini bukan paksaan mana-mana pihak”

Hairie menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Program Himpunan Hijau dan Ceramah Perdana yang berlangsung di Taman Dahlia, Johor Bahru (29 Jun 2012).

Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan kondisi ini seperti sudah dijangka, namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Artis Abby Abadi menjadi bualan ramai. Peminat -peminat beliau di seluruh negara memberikan ucap tahniah melalui facebook kepada pelakon yang pernah memegang watak Insp. Aliza dalam drama bersiri Gerak Khas kerana bergabung dengan PAS.

Dan ketika berceramah di Kg. Gunong, Jelawat, 2 Jun 2012, kehadiran orangramai amat luar biasa. Walaupun suaranya sedikit serak lantaran terlalu sering diundang berceramah namun khalayak, muda dan tua tidak berganjak untuk melihat dari dekat pendatang baru di atas pentas PAS.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan saat bersilaturahim ke pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darulnaim, 1 Julai 2012 dan bertemu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan, pada awalnya mempunyai masaalah peribadi, dan langsung memohon kepada Allah SWT ketika berada di Makkah agar Allah SWT ditunjukkan jalan yang benar, yakni jalan yang harus ditujunya dalam saat genting seperti ini.

Sebelum ini pernah menghadiri program lain termasuk anjuran Barisan Nasional, namun ianya berbeza dengan anjuran PAS yang lebih terasa diri dekat dengan Allah SWT

Dalam pertemuan itu Abby meminta Tuan Guru mendoakan beliau agar terus istiqamah dengan perubahannya ini.

Selain Hairie dan Abby, turut menyertai PAS ialah Leman Raja Lawak dan pelakon drama Gerak Khas, Zulkifly Ismail.

Penghijrahan tak lain kerana kesedaran berpolitik mereka cukup tinggi, rasa tak puas hati kepada UMNO/BN sudah tak tertahan lagi. Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN kepada rakyat, contohnya menafikan hak rakyat Kelantan ke atas royalti minyak, sehingga tergamak mendaratkan minyak melalui Thailand (Songhkla) yang jaraknya 270 kilometer berbanding 150 kilometer daripada pantai Bachok, Kelantan, memberi kesan sekaligus membuka mata rakyat Malaysia di atas pengkhianatan mereka kepada orang Melayu yang majoriti di Kelantan.

Begitu juga dengan projek lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. Menurut perlembagaan tanggungjawab membina lebuhraya adalah dibahu kerajaan pusat, tapi tak dilakukan, sedangkan lebuhraya itu sangat penting. Pusat telah mendiskriminasikan hak rakyat Kelantan yang 95 peratusnya Melayu. Justeru Kerajaan Kelantan mengambil keputusan membina sendiri lebuhraya tersebut. Anehnya, inisiatif kerajaan PAS Kelantan itu menjadi bahan sindiran UMNO.

Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN itu rupanya telah membuka mata golongan professional termasuk artis menyertai perjuangan PAS. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad : Yang cerdik masuk PAS!

Tiada ulasan: