Kita masih lagi perlukan keringat beliau. Kalau tidak masakan beliau dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri.
PETALING JAYA: Khidmat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) masih diperlukan meskipun tewas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) nanti.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sebagai individu yang berjaya menggabungkan parti DAP, PAS, dan PKR menjadi Pakatan, beliau tidak mahu perjuangan Ketua Umum PKR itu berakhir dalam masa terdekat.
“Pada saya tentunya pemimpin yang telah berjaya mencantumkan PAS dan DAP adalah Anwar.
“Kita masih lagi perlukan keringat beliau. Kalau tidak masakan beliau dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri.
“Jadi mesejnya jelas, kena menanglah (PRU13),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Anwar dalam wawancara akhbar Financial Times menyatakan hasratnya untuk meninggalkan gelanggang politik sekiranya gagal mengambil alih Putrajaya semasa PRU13.
Menyifatkan PRU13 sebagai ledakan terakhir kerana dikatakan ‘letih’ dengan karenah politik Malaysia, Anwar berkata beliau mungkin menimbangkan untuk menyambung semula tugas sebagai tenaga pengajar akademik.
Ditanya sama ada sudah bersedia untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti, anak sulung Anwar itu menepis sebarang desas-desus yang mengaitkannya sebagai calon terdekat menyambung legasi perjuangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
“Soalnya bukan individu atau personaliti yang akan menjadi pengganti tetapi kita perlu bekerja keras memastikan kesinambungan perjuangannya,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menggesa seluruh jentera parti Pakatan bekerja keras dan menumpukan seluruh tenaga bagi memastikan kemenangan PRU13.
“Mesej yang diberikan (Anwar) itu benar-benar menunujukkan tahap serius pentingnya kemenangan kalau PRU13 diadakan pada tahun depan kerana ia merupakan tahun ke-15 sejak cetusan gerakan ‘Reformasi 1998′ berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan