HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Julai 2012

Jakim tidak beri tempoh peralihan pamer logo halal

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan memberi tempoh peralihan kepada pengusaha premis makanan atau restoran mempamerkan logo pensijilan halal yang diiktirafnya, yang berkuat kuasa semalam.
  
Ini kerana Jakim telah melaksanakan peringkat pendidikan dan amaran untuk para pengusaha premis makanan dan restoran dari Januari hingga Jun lepas dan tindakan penguatkuasaan dibuat mulai Julai hingga Disember ini.
  
Berikutan itu, Jakim mengarahkan premis yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf supaya melupuskannya serta merta dan mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu atau Majlis Agama Islam Negeri.
  
Jakim dalam kenyataannya hari ini menjelaskan ia telah berusaha membantu pengusaha premis makanan termasuk membuat pindaan terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan 2011) dengan melonggarkan syarat minimum dua pekerja Muslim tempatan berjawatan tetap kepada minimum dua pekerja Muslim berjawatan tetap (termasuk warga asing).
  
Bagi enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,170 permohonan untuk pensijilan halal telah dibuat di mana daripada jumlah itu, sebanyak 1,285 telah diluluskan manakala 68 permohonan lagi gagal dan 817 pemohonan masih dalam tindakan.
 
Menurut Jakim, daripada jumlah keseluruhan pemohonan yang diterima, 308 (14.15 peratus) adalah dari kategori premis makanan iaitu restoran dan dapur hotel. 
  
Jakim juga telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Persatuan Restoran Mamak Malaysia (Presma) sejak 13 Jan 2011 dengan yang terakhir pada 27 Jun lepas.
  
Namun, anggota Presma tidak memberikan sambutan memberangsangkan terhadap permohonan pensijilan halal Jakim kerana sehingga kini, cuma dua restoran mamak iaitu Nasi Kandar Nasmir dan Nasi Kandar Pelita yang diberi pensijilan. - Bernama

Tiada ulasan: