Krisis Air
Memorandum itu diserahkan oleh Presiden KPPPUAS Abd Aziz Ali kepada Pegawai Akhbar Menteri Besar Selangor, Tuan Nazuri Tuan Ismail di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri Selangor (SUK) di sini pada pukul 1 tengah hari ini.
Kumpulan berkenaan turut mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan SUK kira-kira sejam.
Abd Aziz berkata memorandum berkenaan adalah untuk menunjukkan rasa dukacita kesatuan itu terhadap kenyataan Abdul Khalid yang membayangkan seolah-olah pekerja Syabas tidak cekap menguruskan bekalan air bersih ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sebaliknya, beliau berkata Syabas adalah syarikat yang terbaik dan cekap serta telah menaikkan tahap perkhidmatan ke tahap terbaik dalam tempoh tidak sampai 10 tahun.
KPPPUAS turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor membangkitkan isu air mentah sedangkan isu yang dibangkitkan oleh Syabas ialah mengenai air terawat yang pada ketika ini tidak dapat menampung empat kawasan terlibat iaitu Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Gombak dan Klang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Walaupun Syabas telah menghadapi pelbagai kritikan dan kekangan kewangan disebabkan peruntukan Capex (Perbelanjaan Modal) telah dibekukan oleh kerajaan, tetapi syarikat itu masih mampu menjalankan operasinya dengan baik kerana mendapat sokongan dari semua peringkat sama ada pengguna, pengurusan dan pekerja bawahan.
"Kami sebulat suara amat memerlukan Syabas untuk meneruskan dan menerajui dalam pengagihan air bersih di negeri ini. Kami juga amat khuatir jika ada peralihan syarikat belum tentu ia dapat dibandingkan dengan Syabas dan boleh menjamin kebajikan 3,000 pekerjanya," katanya.
Sehubungan itu, Abd Aziz berkata tindakan kerajaan negeri mempersoalkan kemampuan Syabas yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih yang berkualiti secara berterusan tidak berasas sama sekali dan kerajaan negeri diminta supaya tidak mempolitikkan serta memutarbelitkan kenyataan berkenaan industri air di Selangor.
Beliau berkata pihaknya turut menyarankan supaya kerajaan negeri lebih memberi tumpuan bagaimana untuk mengatasi masalah krisis air yang sedang berlaku di Selangor dan bukannya hanya mencari kesilapan Syabas.
"Tidak ada faedah jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak diteruskan kerana masalah yang sama akan berlaku walaupun dengan pengurusan yang baru.
Kami juga ingin menyatakan pendirian kami bahawa dalam menghadapi situasi ini KPPPUAS sentiasa berdiri teguh dan menyokong penuh kepimpinan pengurusan kanan Syabas untuk terus menerajui syarikat itu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan