HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Julai 2012

KUIN didakwa selewang wang zakat staf

KL TODAY

 


Wakil kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mendakwa pihak pengurusan tertinggi kolej berkenaan telah bertindak zalim dengan menyeleweng wang potongan zakat yang dibuat melalui skim potongan gaji para pekerja di institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Seorang pensyarah KUIN yang enggan didedahkan namanya mendedahkan bahawa kali terakhir pembayaran dibuat kepada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah adalah pada bulan Februari tahun ini sedangkan gaji mereka telah dipotong untuk tujuan itu adalah sehingga bulan Jun 2012.

“Zakat kita pun ‘dipusingkan’, pembayaran terakhir kepada Lembaga Zakat ialah pada bulan Februari 2012 sedangkan gaji telah dipotong sehingga Jun 2012.

“Kami ada bukti, kita bukan hanya bercakap kosong..kenapa kita perlu takut? Kita telah buat laporan polis sebab semuanya kita ada bukti,” katanya ketika mengadakan demonstrasi aman ‘Himpunan Aman Bersihkan KUIN 2.0’ yang disertai hampir 200 orang kakitangan KUIN, di sini semalam.

Selain itu, wakil kakitangan wanita KUIN itu turut mempersoalkan tentang akaun IPT di bawah Kerajaan Negeri Kedah yang dikatakan hampir ‘kering kontang’ dan gagal membuat pembayaran pemotongan gaji mereka kepada bank dan syarikat insurans walaupun gaji sudah dipotong.

Akibatnya, dia menjelaskan bahawa  ada sebilangan antara mereka yang telah dikenakan tindakan mahkamah, penarikan kereta dan polisi insurans mereka ditamatkan oleh syarikat insurans.

Para kakitangan KUIN itu juga mempertikaikan jawapan pihak pengurusan tertingginya yang berdolak-dalik mengenai status IPT itu sama ada ia bertaraf swasta atau kerajaan sehingga dinafikan hak kenaikan gaji 13 peratus yang diumumkan kerajaan pada awal tahun ini.

Menurut mereka, apabila diajukan persoalan itu kepada pihak jabatan perusahaan IPT itu, KUIN dimaklumkan berstatus jabatan kerajaan dan apabila diminta kenaikan 13 peratus yang sepatutnya menjadi hak kakitangan, mereka dikatakan berstatus swasta serta tidak layak menikmati kenaikan gaji tersebut.

Ekoran itu, mereka mendakwa boleh dikatakan hampir semua kakitangan KUIN mendesak Rektornya, Prof Datuk Dr Jamil Osman, agar meletak jawatan segera atau berhadapan dengan beberapa lagi siri demonstrasi aman.

Menurut salah seorang wakil kakitangan lelaki IPT itu, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim yang berucap pada demonstrasi berkenaan menjelaskan bahawa Jamil enggan bertemu, berbincang atau berhadapan dengan rintihan para kakitangan KUIN tersebut.

Mereka juga pernah bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang juga merupakan Pengerusi Ahli Lembaga KUIN di kediamannya pada 14 Mei lalu untuk meluahkan masalah itu, namun usaha tersebut seolah-olah tidak diendahkan.

Memorandum telah diserahkan kepada Jamil pada 20 Mei berkaitan isu kebajikan kakitangan KUIN yang dinafikan itu dan satu lagi memorandum telah diserakan kepada Azizan melalui Exco Kerajaan Negeri, Datuk Taulan Rasul, pada 19 Jun lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Mereka turut membuat permohonan bertulis agar Rektor ‘turun’ bertemu dengan semua kakitangan KUIN namun permintaan mereka itu tidak dilayan sehingga kini.

Tiada ulasan: