Gerakan Mansuhkan ISA menyifatkan larangan supaya kakitangan kem tahanan ISA di Kamunting daripada bercakap dengan Malaysiakini sebagai cubaan menyembunyikan sesuatu.

Setiausaha GMI Ahmad Syukri Ab Razab berkata pihak kem perlu bersikap telus dan menjelaskan kepada umum jika dakwaan tahanan melancar mogok lapar untuk kebebasan mereka tidak benar.

NONE"Apa yang hendak disembunyikan. Dia perlu bersikap telus, terbuka, jelaskan kepada wartawan.

"Jika benar tuduhan ini tidak betul, maka dia perlu membuka perbincangan dengan orang luar, bukan tutup terus," katanya.ketika ditemui pemberita selepas acara pidato anti-ISA di Masjid Negara di Kuala Lumpur petang ini.

Pidato anjuran GMI dan kumpulan mahasiswa itu antaranya bertujuan menuntut pembebasan 45 tahanan ISA yang masih ditahan di situ.

Bekas pemimpin pelajar itu berkata lagi, larangan itu juga dilihat untuk melindungi sesuatu dan menghadkan maklumat dalaman keluar dari kem tersebut.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kakitangan di Kamunting - yang menempatkan kumpulan terakhir tahanan ISA - tidak dibenarkan menjawab panggilan dari portal berita bebas itu.

Menurut seorang kakitangan, larangan khusus terhadap Malaysiakini itu dibuat oleh pentadbiran kem.