| Harakahdaily, |
(Penduduk Green Cow berkhemah depan pejabat MB sehingga ditahan polis)
KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Besar Pahang meluluskan pemberian tanah kepada tujuh keluarga Green Cow, Cameroon Highland memberikan isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka perlu perjuang untuk mendapatkan hak mereka.
AJK PAS Pusat, Zulkefli Mohamad Omar (gambar bawah) berkata, beliau menyambut baik keputusan Datuk Seri Adnan Yaakub memberikan tanah itu.
"Kalau kerajaan prihatin, mereka tidak tunggu rakyat masuk lokap dahulu sebelum mereka diberikan hak," kata Zulkefli yang merupakan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.
Adnan telah bersetuju untuk menyediakan sebidang tanah bagi setiap tujuh keluarga terlibat membina rumah mereka.
Namun Presien MIC, G Palanivel telah menuntut kredit dari keputusan Adnan ini kerana tanah itu diluluskan atas usaha MIC.
"Datuk Adnan juga memberi jaminan kepada saya bahawa beliau akan meneliti isu-isu kecil yang lain yang telah dibawa kepada perhatian saya semasa lawatan tersebut," Palanivel, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri katanya dipetik sebagai berkata.
32 penduduk Green Cow ditangkap polis baru-baru ini ketika mereka berkhemah di hadapan kediaman Menteri Besar Pahang bagi menuntut janji beliau.
Mereka telah tinggal di khemah sejak dua bulan lalu kerana rumah mereka tidak selamat akibat kerja-kerja pembangunan tanah di atas bukit berhampiran rumah mereka.
Zulkefli dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menziarahi mereka sebelum ini bagi melihat sendiri masalah tujuh keluarga India dan Orang Asli ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan