Ketika suhu pilihanraya umum (PRU) ke-13 semakin memuncak hari demi hari, Mahathir Mohamad pula dipetik sebagai berkata, Najib Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya.
Dalam reaksi segeranya, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menempelak Najib dengan berkata, secara tidak rasminya, Najib tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.
"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Mahfuz lagi.
Perkembangan ini pastinya menambah keresahan ahli-ahli politik sama ada dari BN mahupun Pakatan Rakyat (PR) yang ternanti-nanti "pertempuran" yang menjanjikan seribu satu kemungkinan, sama ada terus berkuasa atau sebaliknya.
Kebanyakan mereka termasuk menteri-menteri pusat, menteri besar, ketua menteri dan exco-exconya berada di bawah tekanan untuk memberikan kontrak, lesen, kebenaran, permit AP dan sebagainya ekoran ketidak tentuan dan kepastian mengenai tampuk kuasa dan ketidak senangan pihak tertentu jika kontrak-kontrak tertentu dilaksanakan.
Jika menteri dan pembesar-pembesar ini dilihat enggan melaksanakan permintaan pemimpin berpengaruh dan kumpulan tertentu, mereka mungkin akan kehilangan sokongan dan tewas kepada kepada BN ataupun PR.
Keresahan ahli-ahli politik dari kedua-dua pakatan turut dikongsi oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang turut meminta Najib untuk menyegerakan PRU ke-13 bagi mengelakkan ketidaktentuan kepada banyak industri.
Spekulasi berterusan dan penangguhan berkenaan PRU akan menyebabkan pihak industri turut merasakan tempias dalam membuat keputusan, kata Presiden FMM, Yong Poh Kon.
Selepas PRU 2008, PR tidak perlu lagi berasa segan sebaliknya boleh mendabik dada kerana bukan lagi mampu untuk mencatatkan kemenangan kerana para pengundi menolak BN, sebaliknya tersenyum lebar meraih kemenangan disebabkan lebih ramai rakyat semakin menyokong mereka.
Dilihat dalam senario am, dalam kekalahan mengejut BN pada 2008, rata-rata kebanyakan pengundi yang memangkah PR bukan kerana mereka sememangnya mahukan PR untuk memerintah negara sebaliknya memberikan undi protes kepada BN.
Undi protes kepada BN ini dibuat kerana keangkuhan pemimpin BN dalam menaikkan harga minyak sesuka hati, khabar-khabar angin penyelewengan dan salah guna kuasa yang berleluasa dan keperkasaan portal berita yang menyajikan berita-berita alternatif berbanding media arus perdana yang rata-rata dikuasai oleh parti pemerintah.
Kepada BN pula, pastinya Najib mahu mencipta "kenangan manis" dalam PRU pertama pimpinannnya dengan mengambil masa selama mungkin sebelum mengumumkan tarikh PRU ekoran dalam keadaan sekarang yang mana BN hanya mampu menang mudah dan tidak mampu memperolehi kemenangan majoriti dua per tiga seperti yang diinginkan.
Justeru, langkah menangguhkan lagi PRU akan membuka ruang seluas-luasnya untuk beliau dan barisan pimpinan BN untuk mencetuskan "suasana selesa" menerusi pembentangan Bajet 2013 pada bulan September akan datang selain pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua yang cukup menyentuh hati sanubari rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar.
Bila dan apapun tarikh serta keputusan PRU ke-13, pertembungan dua "singa" ini pasti akan menjanjikan seribu satu kegembiraan dan kedukaan kepada pihak yang menang dan kalah nanti, namun apa yang lebih penting ialah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk semua kaum dan segmen ekonomi masyarakat.
*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan