Oleh Aedi Asri
PETALING JAYA : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan serbuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di pejabatnya adalah cubaan kerajaan mengalih perhatian rakyat berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa yang dibawa badan hak asasi itu.
Pengarahnya, Kua Kia Soong berkata, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat syarikat Perimekar dan Terasasi yang terlibat dalam skandal pembelian kapal selam Scorpene, bukannya menekan Suaram kerana mendedahkan kes itu.
“Dakwaan kegiatan mencurigakan Perimekar dan Terasasi dinyatakan dalam dokumen siasatan (Polis Perancis) yang melibatkan wang pembayar cukai sekurang-kurangnya RM500 juta.
“Ia sepatutnya (cukup) untuk jadi asas SSM, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat,” katanya pada sidang media di pejabat Suaram dekat sini hari ini.
Kia Soong berkata, sistem kehakiman Perancis memberi sumbangan besar kepada negara dengan menyiasat skandal itu sehingga berjaya mendedahkan pelbagai perkara.
“Banyak dokumen (berkenaan kes Scorpene) untuk dikaji pihak berkuasa, tanpa perlu menekan pemberi maklumat seperti yang berlaku terhadap Suaram,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan tidak menekan Suaram yang sekian lama berjuang menegakkan hak asasi di Malaysia.
Beliau merujuk kepada 153 dokumen siasatan polis Perancis yang dimuat naik laman Asia Sentinel.
Dokumen itu, antaranya menyebut peranan Terasasi dan Perimekar (dokumen 97), peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam urus niaga itu
(dokumen 87) dan kehadiran mendiang Altantuya Shaaribuu ke Paris (dokumen 136).
Semalam, sekumpulan pegawai SSM menyerbu pejabat Suaram di sini kira-kira pukul 3.00 petang kononnya untuk membuat ‘pemeriksaan rutin’.
Namun, pegawai SSM terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila waran yang dibawa tidak sah, kerana tidak ditandatangani Pesuruhjaya.
Ia ditangguhkan pada jam 10.30 pagi tadi tetapi sehingga kini pegawai SSM masih belum hadir.
Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi Suaram, K Arumugam dan Koordinator Dokumentasi, Kar Fai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan