HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Julai 2012

Sumber air dicemari; tujuh keluarga hadapi kesukaran

Penduduk percaya ia berpunca dari aktiviti mengorek pasir untuk tujuan penjualan di kawasan berhampiran.




SEREMBAN – Tujuh keluarga dari Kampung Batu 4 ½, Jalan Seremban – Mantin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih apabila sumber air mereka selama 31 tahun kini dicemari.

Salah seorang penduduk kampung, R Tamilselvan, 47, berkata kesemua tujuh keluarga yang menetap di kampung tersebut menggunakan sumber air dari Sungai Belihoi untuk minum, mandi, membasuh dan lain-lain kegunaan.

“Sejak 31 tahun kami semua menggunakan air Sungai Belihoi yang terletak di belakang rumah kami kerana tiada bekalan air paip di rumah. Air sungai ini sememangnya bersih dan sangat jernih.

“Walaubagaimanapun sejak sebulan lalu air sungai ini mula kotor dan berlumpur menyebabkan kami semua menghadapi kesulitan kerana tidak mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan seisi keluarga.

“Kami percaya ini berpunca daripada aktiviti mengorek pasir untuk tujuan penjualan di kawasan berhampiran.

“Saya terpaksa berulang-alik mengangkut air dari sungai yang berhampiran setiap hari untuk kegunaan harian. Sementara itu untuk bekalan air minuman pula saya perlu membeli air mineral di kedai”, kata Tamilselvan.

R. Tamilchelvi, 41, pula berkata setiap hari beliau dan ahli keluarganya perlu berjimat menggunakan air mineral yang dibeli atau air yang diambil daripada aliran sungai di kawasan yang agak berjauhan dari kampung ini kerana air sungai di belakang rumah mereka kini telah kotor.

Air berkeladak

“Keadaan ini amat menyukarkan urusan seharian kami sekeluarga kerana keadaan air yang berbau tanah dan dikhuatiri boleh membawa penyakit.

“Kami memerlukan sumber air bersih untuk memasak dan minuman. Sekarang ini saya terpaksa beli air bertong-tong untuk keperluan harian.

“Kalau mahu membasuh pakaian dan mandi. Saya boleh gunakan air yang diambil dari anak sungai di kawasan berhampiran, tapi airnya berkeladak dan tidak lagi bersih macam dulu”, katanya.

Tamilselvan yang mewakili penduduk kampung itu berkata beliau telah membuat aduan kepada pihak yang berwajib dan masiih menunggu tindakan daripada mereka.

Apabila ditanya apakah beliau dan penduduk kampung pernah membuat permohonan untuk bekalan air paip daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Tamilselvan berkata pihak SAINS tiada masalah untuk menyambungkan bekalan air paip ke kampung tersebut walaubagaimanapun masalahnya tiada paip air utama yang melalui kawasan kampung ini.

“SAINS menghadapi masalah untuk menyambungkan bekalan air paip daripada sistem saluran paip air utama mereka kerana tiada saluran paip air yang besar dan utama berdekatan dengan kampung ini.

“Kami masih boleh mengunakan air sungai ini kerana ia airnya amat bersih dan berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat ini”,Tamilselvam menambah.

Tiada ulasan: