| Salmiyah Harun, |
AMPANG: Pegurusan pusat membeli-belah disyorkan merizabkan sebilangan unit parkir kenderaan bertanda 'w' khususnya kepada wanita berdekatan pintu masuk setiap premis perniagaan mereka.
Cadangan itu dikemukakan oleh Exco Perumahan Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika menerima memorandum daripada Gabungan Wanita Pandan di Pasaraya Tesco Ampang, di sini hari ini.
Beliau berkata, tujuan utama merizabkan tempat letak kereta untuk wanita berhampiran pasar raya untuk mengelakkan mereka terdedah dengan sebarang kejadian berbahaya.
Beliau juga berjanji akan membawanya ke mesyuarat Exco agar ia mendapat perhatian pasaraya-pasaraya lain di Selangor.
Tambahnya, cadangan di dalam memorandum tersebut adalah baik dan wajar dijadikan satu peraturan wajib oleh pihak berkuasa tempatan.
Malah katanya, cadangan itu wajar dilaksanakan memandangkan banyak kejadian jenayah sering berlaku di kawasan tempat letak kenderaan pusat membeli-belah.
"Sebelum ini sudah ada tempat letak kereta khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dekat dengan bangunan pasar raya, jadi saya rasa tiada masalah merizabkan parkir khas kepada wanita seperti yang disediakan kepada OKU," katanya di dalam blognya.
Memorandum yang akan diserahkan kepada semua pasar raya besar di Ampang bermula hari ini, katanya, turut mencadangkan unit parkir tersebut ditanda 'W' sebagai tanda ia dikhususkan kepada wanita.
Tegasnya, tempat letak kereta bertanda 'W' hanya boleh digunakan oleh pelanggan wanita yang mengunjungi pasar raya tanpa ditemani pelanggan lelaki dewasa sahaja.
Terdahulu, Gabungan Wanita Pandan di dalam memorandumnya menggesa agar dirizabkan unit-unit letak kereta berhampiran dengan bangunan pasaraya agar keselamatan pelanggan-pelanggan wanita terjamin.
Menurut Gabungan Wanita Pandan, seorang pelanggan wanita telah diserang dan cuba dirompak di tempat letak kereta sebuah pasaraya besar.
Mereka turut mencadangkan agar tindakan juga perlu kenakan ke atas pelanggan-pelanggan yang menyalahguna tempat letak kereta ini seperti mengunci tayar atau "clamping".
Memorandum telah diserahkan kepada wakil Tesco Ampang, Sivalingam oleh wakil Gabungan Wanita Pandan, Puan Hajjah Basmatul Uyun Mohd. Yusof, Hajjah Musalmah Osman dan Cik Lee Shok Jing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan