HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Julai 2012

Tiada sebab kos Klia2 meningkat kepada RM5 bilion, kata sumber

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa KLIA2, terminal penerbangan tambang rendah di Sepang, dekat sini, menelan belanja RM5 bilion disebabkan kos tambahan, tidak benar, kata sumber-sumber yang berkait rapat dengan projek itu.
  
Mereka mendakwa kos mungkin meningkat kepada RM5 bilion jika pihak-pihak tertentu mahu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membina kemudahan tambahan dalam pelan sedia ada.
  
"Setakat ini, semuanya dalam kawalan dan kos pembinaan kekal sebanyak RM3.9 bilion," kata sumber berkenaan.
  
Mengenai dakwaan lapangan terbang itu tidak akan siap mengikut jadual pada April 2013, sumber itu berkata pembinaannya berjalan mengikut jadual dan tidak timbul persoalan sama ada lapangan terbang itu siap mengikut tempoh yang ditetapkan, tetapi sebaliknya sama ada operator-operator syarikat penerbangan tambang rendah sudah bersedia ketika itu.
  
Difahamkan beberapa sistem tertentu untuk kaunter pemeriksaan masuk belum dikemukakan kepada MAHB meskipun tarikh akhir ditetapkan pada 15 Jun tahun ini.
  
Selain itu, persoalan juga timbul sama ada kemudahan yang dilaksanakan oleh pihak lain (bukan MAHB) seperti hotel dan bangunan pejabat, dapat disiapkan pada suku kedua tahun depan.
  
Sumber itu berkata KLIA2 sepatutnya dapat disiapkan tahun ini jika pihak-pihak tertentu tidak membuat permintaan pada saat-saat akhir, yang menyebabkan jadualnya dilanjutkan.
  
Mereka berkata kos juga meningkat daripada harga asal sebanyak RM2 bilion disebabkan permintaan untuk kemudahan tambahan.
  
Pada asalnya, KLIA2 sepatutnya merupakan bangunan dua tingkat, namun ditambah menjadi sembilan tingkat untuk terminal tiga aras, yang melibatkan balai berlepas, ketibaan dan kawasan peralatan sokongan darat yang berasingan.
  
Ini bermakna keluasan kasar lantai bangunan terminal meningkat 71 peratus kepada 257,000 meter persegi berbanding keluasan asal 150,000 meter persegi.
  
Sumber itu berkata KLIA2 bakal menjadi terminal kos rendah khusus terbesar dengan kapasiti untuk menampung 45 juta penumpang setahun.
  
Mereka berkata ia juga dibangunkan pada kos terendah bagi seorang penumpang dengan kemudahan jambatan udara untuk keselesaan penumpang.
  
"Menerusi jambatan udara itu, penumpang tidak lagi perlu berjalan di kawasan meletak pesawat," kata mereka.
  
Sumber itu juga berkata standard industri menetapkan 55 pintu memasuki pesawat sudah memadai untuk mengendalikan 30 juta penumpang setahun, namun MAHB memenuhi permintaan untuk menambah bilangan itu kepada 68.
  
MAHB juga menyediakan sistem pengendalian bagasi automatik sepenuhnya walaupun pada peringkat awal permohonan dibuat untuk sistem separa automatik.
  
Bagi menampung jumlah penumpang yang besar, MAHB turut merancang menyediakan ruang untuk pesawat superjumbo Airbus 380 selain ruang istirahat premium untuk meningkatkan keselesaan penumpang.
  
Berdasarkan pelan pembinaan sedia ada, MAHB juga menyediakan ruang untuk pembinaan empat hotel dan pusat membeli-belah bersebelahan terminal. - Bernama

Tiada ulasan: