Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Serbuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis di pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah cubaan kerajaan mengalih perhatian rakyat berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa pembelian Scorpene yang dibawa badan hak asasi itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan, siasatan itu sebagai dwi standard dan bermotif politik.
“Jelas siasatan ini adalah tindakan balas dendam politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal Scorpene dan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
“Ini adalah satu kes dwi standard dan pendakwaan terpilih oleh BN memandangkan banyak syarikat yang melakukan penyelewengan kewangan lebih serius tidak diberi perhatian sama seperti diberikan kepada Suaram,” katanya pada kenyataan.
Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan tindakan kerajaan yang begitu ghairah menyiasat Suaram sedangkan banyak kes berprofil tinggi membabitkan pimpinan BN dibiarkan.
“Mengapa NGO persendirian hak asasi manusia yang dipilih sebagai mangsa kononnya berlaku penyelewengan kewangan, padahal banyak kes-kes berprofil tinggi dan skandal tuduhan rasuah.
“Seperti RM500 juta komisen bagi pembelian dua kapal selam Scorpene dan skandal dana NFC RM250 juta. Menteri tidak pernah cakap mahu menyiasat akaun syarikat-syarikat yang terlibat dalam dua skandal yang didakwa. Malah Menteri juga tak pernah beritahu mengenai siasatan akaun syarikat-syarikat yang terlibat ini,” katanya.
Beliau yang kesal cara kerajaan bertindak berkata, Umno BN sekali lagi menggunakan kuasa mereka menangkap pemberi maklumat, sebaliknya membiarkan ‘penjenayah’.
“Pendakwaan terpilih ini terhadap Suaram sekali lagi mendedahkan kegemaran kerajaan BN untuk menghukum pemberi maklumat. Sama seperti Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli yang ditangkap kerana mendedahkan butiran akaun bank yang membawa kepada tuduhan terhadap Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail.
“Suaram nampaknya menjadi mangsa kerana mendedah dan membantu dalam perbicaraan kes rasuah Scorpene di Perancis,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan