Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penerima saman AES bermula 13 Oktober lalu diminta tidak membuat bayaran kompaun yang dikenakan sebanyak RM300 selepas tarikh pembayaran.
Menurutnya, penerima saman akan diberi pembelaan melalui peguam yang disediakan oleh Pas dan PR jika mereka dibawa ke mahkamah.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, pertubuhan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan PR turut mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno yang bersama menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan AES.
"Kita akan sediakan peguam di seluruh Malaysia untuk membantu penerima saman (AES) yang pergi menghadiri perbicaraan di mahkamah.
"Kita minta penerima saman tidak membayar saman AES sebanyak RM300 dan hadir ke mahkamah, kalau bernasib baik mereka tak perlu bayar langsung kepada syarikat yang mahu kaut keuntungan.
"Kita juga nak ucap terima kasih kepada Pemuda Umno yang turut bersama kita gesa kerajaan supaya menangguhkan pemasangan AES walaupun mereka bertindak lambat," katanya kepada sidang media di lobi Parlimen hari ini, di sini.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyatakan pihaknya sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian menyeluruh dilakukan.
Khairy berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pelaksanaan AES itu meragukan dan lokasinya juga tidak sesuai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan