HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Khutbah Aidiladha: Dakwaan hanya tohmahan, kata Pas

SAPINAH AB GHANI

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan menyifatkan dakwaan sesetengah pemimpin dan  badan bukan kerajaan (NGO) bahawa teks khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Dewan Ulama Pas Kelantan mengandungi unsur-unsur kebencian sebagai satu tohmahan.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tidak timbul unsur-unsur yang membawa kebencian sebaliknya ia lebih ke arah memperjuangkan Islam dan mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim.

“Boleh jadi dakwaan yang mengatakan ada unsur kebencian itu hanya tohmahan kerana mereka melihat dari perspektif negatif dan memberi pandangan yang negatif,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkata, selepas mendengar dan membaca teks tersebut, soal kebencian tidak pernah dibangkitkan, sebaliknya ia menjurus ke arah meningkatkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam.

Jumaat lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dalam kenyataannya mengecam Dewan Ulama Pas Kelantan kerana masih mengeluarkan dan menyebarkan teks khutbah yang mengelirukan dengan menyeru ke arah perpecahan dan menanam bibit-bibit kebencian kepada para pemimpin negara.

Menurutnya, sayap Pas itu mengulangi semula khutbah berbau kebencian tersebut dalam teks yang diedarkan ke seluruh surau dan masjid sempena Aidiladha tahun ini.

Beliau berkata, teks khutbah kali ini lebih keras jika dibandingkan teks khutbah Aidilfitri lepas yang telah dipertikaikan oleh banyak pihak.

Sebelum itu, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah mengagihkan daging korban kepada kira-kira 500 penerima di Dun Panchor di sini, kelmarin.

“Sebanyak 12 lembu ditumbangkan hasil sumbangan dermawan untuk diagihkan, dan saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama diberikan dalam usaha merapatkan hubungan antara satu sama lain di Dun ini,” katanya.

Menurutnya, program tahunan yang dijalankan tiga tahun berturut-turut ini juga sebagai tanda prihatin kepada golongan kurang bernasib baik terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga miskin daripada 28 cawangan di Dun itu.

Tiada ulasan: